NEYMAR (tengah) ketika menjaringkan gol untuk PSG. FOTO/AFP
NEYMAR (tengah) ketika menjaringkan gol untuk PSG. FOTO/AFP
AFP

PARIS: Kylian Mbappe dan Neymar meledak gol lewat untuk memberikan Paris Saint-Germain (PSG) kemenangan 2-1 ke atas pencabar terdekat, Lille dalam aksi Ligue 1, Perancis awal pagi tadi.

Kemenangan itu meneruskan permulaan sempurna juara Perancis berkenaan yang meraih deretan 12 kemenangan berturut-turut pada musim ini.

Sebelum perlawanan, kelab milik jutawan Qatar itu mengeluarkan kenyataan menafikan tuduhan berhubung siasatan Football Leaks yang mendakwa mereka bersekongkol dengan Kesatuan Bolasepak Eropah untuk menutup kesalahan Peraturan Kewangan Adil (FFP).

Begitupun, Mbappe mengembalikan senyuman di Stade de France dengan rembatan menarik dari luar kotak penalti 20 minit sebelum permainan berakhir untuk gol pertama PSG, sebelum Neymar meletakkan tuan rumah selesa mendahului 2-0, pada minit ke-84.

Gol Lille pula dijaringkan oleh Nicolas Pepe menerusi sepakan penalti pada masa kecederaan.

PSG meneruskan kelebihan mereka di puncak Ligue 1 kepada 11 mata, susulan deretan kemenangan berkenaan dan sudah memadam rekod lama yang dipegang Tottenham Hotspur - kemenangan berturut-turut paling lama dalam semusim.

Spurs pada musim 1960-61 meraih 11 kemenangan berturut-turut dan prestasi itu kekal sebagai rekod dalam lima liga terbesar Eropah yang diisi Sepanyol, England, Itali, Jerman dan Perancis.

Keputusan baik itu turut mencetus semangat buat PSG menjelang kunjungan penting Liga Juara-Juara ke Itali bertemu Napoli, minggu depan - di mana kekalahan boleh menyebabkan skuad kendalian Thomas Tuchel di ambang penyingkiran.

Selepas diletakkan di bangku simpanan menentang Marseille minggu lalu kerana tiba lewat untuk mendengar persiapan sebelum perlawanan, Mbappe kembali disenaraikan dalam kesebelasan utama pagi tadi.

Begitupun, Marco Verratti turut disenaraikan sekali pun kelab itu mengesahkan pemain Itali itu didapati memandu dalam keadaan mabuk pada Selasa lalu.

Tanpa Edinson Cavani yang mengalami kecederaan, Mbappe dan Neymar menjadi ancaman terbesar buat Lille yang menghuni tangga kedua Ligue 1 dan bintang Brazil itu hampir meledak seawal minit kelima tetapi berjaya diselamatkan Mike Maignan.

Rembatan Mbappe juga tersasar ketika PSG meningkatkan tekanan pada babak kedua sebelum pemain berusia 19 tahun itu membuka tirai jaringan pada minit ke-70, selepas rembatan Neymar menuju tepat ke arahnya.

Ia adalah gol ke-11 dan kelapan pemain muda sensasi itu dalam kempen Ligue 1, sejak memenangi Piala Dunia bersama Perancis,

Kedudukan Lille di tangga kedua boleh dipintas Montpellier jika mereka menewaskan Marseille, esok.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 November 2018 @ 8:00 AM