MAIGNAN kini penjaga gol utama Perancis.
MAIGNAN kini penjaga gol utama Perancis.
AFP

Paris: Pertembungan Paris Saint-Germain dengan AC Milan dalam aksi Liga Juara-Juara Khamis ini bakal menyaksikan kelab Perancis itu berdepan bekas pemain berbakat mereka yang dilepaskan beberapa tahun lalu.

Mike Maignan yang dibenar meninggalkan Paris untuk menyertai Lille pada 2015 kemudiannya menyerlah sehingga menjulang gelaran Ligue 1, Serie A dan muncul penjaga gol utama Perancis.

PSG merekrut beberapa penjaga gol sebelum menandatangani Gianluigi Donnarumma dari Milan pada 2021 dan menjadikannya pemain nombor satu mereka setahun selepas itu.

Maignan kini berusia 28 tahun muncul antara penjaga gol handalan dunia dan menjadi pemain terakhir di bahagian pertahanan Milan bagi menentang rakan sepasukan Perancis terdiri daripada Kylian Mbappe, Ousmane Dembele dan Randal Kolo Muani dalam aksi penting Kumpulan F.

Selepas kebal tanpa bolos ketika menentang Newcastle United dan Borussia Dortmund, Maignan dijangka kembali mengawal gawang Milan selepas tidak beraksi ketika tewas 0-1 di tangan Juventus dalam saingan Serie Ahad lalu susulan menjalani hukuman penggantungan satu perlawanan.

"Ia selalunya perasaan janggal beraksi di negara sendiri sama ada Lille atau Paris," kata Maignan.

Dia terlepas Piala Dunia tahun lalu akibat kecederaan tetapi menjadi penjaga gol utama Perancis selepas persaraan Hugo Lloris.

"Ia membawa kembali memori. Saya beraksi dengan PSG dan Lille. Ia Liga Juara-Juara, sudah pasti suasana hebat. Keluarga saya akan berada di sana. Saya perlu fokus dengan tugas dan tidak boleh membenarkan emosi kuasai diri."

Bukan sahaja Maignan dilepaskan oleh PSG sejak sedekad lalu. Pemain seperti Kingsley Coman, Adrien Rabiot, Christopher Nkunku dan Moussa Diaby kesemuanya memilih untuk mengembangkan karier bersama kelab lain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2023 @ 9:51 AM