PEMAIN JDT meraikan kejayaan menjaring gol. -FOTO JST
PEMAIN JDT meraikan kejayaan menjaring gol. -FOTO JST
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) melaungkan amaran bahawa mereka akan terus menguasai saingan Liga Super musim ini selepas membelasah Kuala Lumpur City (KL City) FC 5-1 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, sebentar tadi.

Jelas sekali, barisan anak buah Bidoglio Hector sukar digugat sekali gus tidak berhadapan masalah mencipta kemenangan ketiga pada perlawanan menentang skuad The City Boys.

Penguasaan penuh skuad Harimau Selatan sepanjang tempoh separuh masa pertama dengan kerap melakukan serangan berbahaya ke kubu lawan bagi mencari gol pembukaan.

Awang import baharu JDT Francisco Geraldes hampir meletakkan pasukan pelawat di depan pada 35 namun sepakannya sedikit tersasar sekali gus melegakan skuad kendalian Miroslav Kuljanac.

JDT akhirnya memecah kebuntuan gol selang lapan minit kemudian apabila jaringan Fernando Forestieri yang pada awalnya dibatalkan namun disahkan selepas pengadil Nazmi Nasaruddin melakukan semakan menerus video bantuan pengadil (VAR).

Pasukan pelawat seolah dahagakan gol apabila terus menyumbat gol kedua kali ini menerusi Juan Muniz yang menyempurnakan sepakan percuma dari luar kotak penalti KL City untuk kedudukan 2-0.

Melihat kepada situasi terbabit, jentera serangan KL City yang diketaui Paulo Josue mengatur gerakan bagi merapatkan jurang.

Skuad The City Boys dihadiahkan sepakan penalti pada masa tambahan babak pertama selepas Haqimi Azim Rosli dijatuhkan dalam kawasan kotak penalti JDT sebelum Josue menyempurnakannya untuk kedudukan 2-1.

Memasuki babak kedua, JDT tidak lagi menoleh kebelakangan apabila terus menghambat KL City untuk gol ketiga menerusi tandukan Forestieri sebelum Muniz menjadikan kedudukan 4-1.

Pertahanan JDT Syahmi Safari yang beraksi sebagai pemain gantian melengkap petang yang indah buat skuad Harimau Selatan apabila menyumbat gol kelima ketika perlawanan berbaki dua minit sebelum tamat.

Kedudukan 5-1 kekal hingga tamat perlawanan sekali gus menyaksikan JDT terus mengukuhkan kedudukan di persada liga dengan mengumpul sembilan mata manakala KL City pula di tangga ke 11 dengan kelebihan hanya satu mata.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 7:58 PM