MOHD Firdaus (tengah) pada sidang media pelancaran perlawanan Piala Agong dan Perlawanan Piala Emas Raja-Raja, semalam. FOTO AIZUDDIN SAAD
MOHD Firdaus (tengah) pada sidang media pelancaran perlawanan Piala Agong dan Perlawanan Piala Emas Raja-Raja, semalam. FOTO AIZUDDIN SAAD
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak menolak kemungkinan Pestabola Merdeka bakal berlangsung di luar Lembah Klang jika Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) tidak dapat disiapkan menjelang sepak mula kejohanan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM Mohd Firdaus Mohamed berkata, pihaknya sudah mengenalpasti sekurang-kurangnya dua venue yang mampu menggantikan stadium keramat Harimau Malaya itu.

Beliau berkata, pihaknya perlu menyediakan pelan 'kecemasan' lebih awal termasuk mengenalpasti venue lain jika SNBJ berhadapan masalah sekali gus mengelak kejohanan Pestabola Merdeka berdepan masalah.

"Ketika ini, kita melihat kerja pemasangan rumput akan bermula pada Ogos ini dan perjumpaan bersama wakil Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) juga turut berkeyakinan SNBJ boleh digunakan untuk Pestabola Merdeka.

"Jika berlaku juga masalah, kita sudah mengenalpasti satu atau dua venue untuk menggantikan SNBJ. Mungkin akan berlangsung di Pulau Pinang namun perlu melihat daripada segi logistik termasuklah penginapan untuk pasukan.

"Paling penting adalah penyokong Harimau Malaya boleh hadir ke stadium untuk memberi sokongan kepada pasukan kebangsaan,"katanya.

Mengikut rekod, Pestabola Merdeka 2023 pada Oktober bakal menjadi pentas terbaik untuk pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon merangka strategi dan membuat persiapan untuk bersaing dalam Piala Asia yang akan berlangsung pada Januari 2024 di Qatar.

Pemilihan Palestin, Lubnan dan India yang berkedudukan ranking yang lebih tinggi berbanding Harimau Malaya untuk bersaing dalam kejohanan Pestabola Merdeka 2023 sudah pasti akan menjadi lawan berkualiti sebelum beraksi di Piala Asia nanti.

Malaysia muncul pasukan paling berjaya dengan 10 kejuaraan sejak dianjurkan pada 1957 diikuti Korea Selatan tujuh kali dan Myanmar empat kali.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Julai 2023 @ 2:04 PM