SUBKHIDDIN Mohd Salleh. -FOTO NSTP
SUBKHIDDIN Mohd Salleh. -FOTO NSTP
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pengadil tempatan yang sudah meraih lesen mengendalikan perlawanan Liga Malaysia (Liga M) menggunakan sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) perlu sentiasa kekal konsisten dengan tidak melanggar mana-mana protokol VAR kerana ia sentiasa dipantau Fifa.

Platform IAAP atau dikenali 'Implementation Assistance and Approval Programme' diwujudkan oleh Fifa bagi dijadikan rujukan selain medan memantau prestasi setiap pengadil yang diberikan lesen VAR.

Perkara itu didedahkan bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd Salleh yang menegaskan pengadil perlu sentiasa mengikut protokol ditetapkan oleh Fifa dalam setiap perlawanan diadili.

Katanya, Fifa amat menitik beratkan soal garis panduan protokol dan badan induk bola sepak antarabangsa itu boleh menarik semula kebenaran menggunakan VAR jika terdapat bukti pelanggaran protokol sistem itu.

"Kalau katakan kita ada bukti tidak patuhi protokol...tidak patuhi undang-undang, jadi Fifa ada hak untuk menghalang penggunaan VAR di Malaysia.

"Contohnya kalau bertentangan dengan protokol dalam menyemak insiden, jadi Fifa mungkin akan buat siasatan di mana ini bukan protokol.

"Protokol yang ada ini adalah protokol yang sama digunakan di seluruh dunia, jadi kalau ada satu negara yang cuba melanggar protokol dan tidak konsisten dengan negara-negara lain mereka (Fifa boleh menarik semula).

"Jadi kita tak boleh ikut suka hati kita nak ikut atau tak nak ikut, kerana ia melanggar protokol Fifa dan melanggar prinsipal Fifa dan mereka ada hak untuk menghalang atau membenarkan penggunaan VAR itu di sesuatu negara," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Untuk rekod, VAR digunakan untuk menyemak dalam empat perkara penting yang boleh mempengaruhi keputusan perlawanan iaitu gol atau tidak gol, penalti atau tidak penalti, penentuan kad merah dan kesilapan identiti.

Ujar Subkhidin lagi, satu surat peringatan akan dikeluarkan sebagai bentuk nasihat buat pengadil agar mengikut protokol VAR dan tidak mengulangi pelanggaran itu.

"Dia ada satu sistem di namakan IAAP. Sistem ini adalah satu sistem di mana setiap kali perlawanan berlangsung jika ada sesuatu insiden, contoh kita melakukan semakan dan sebagainya, jadi kita kena hantar klip ini ke dalam sistem AIIP.

"Katakan kita ada buat semakan VAR jadi dia akan ada keratan video contohnya dalam seminit ataupun seminit setengah, di mana klip ini kita masukkan dalam sistem AIIP ini, maka ia akan dijadikan rujukan buat semua orang.

"Kalau kita ada masalah tidak mengikut protokol, jadi mereka akan menghantar surat menasihatkan kita, bukanlah kata menghalang terus.

"Tapi akan menasihat supaya apa yang berlaku ini mengikut prosedur dan sebagainya, itu tujuannya. Selain untuk permulaan latihan, ia juga sebagai pemantau untuk penggunaan VAR," katanya.

Liga Malaysia melakar sejarah apabila buat pertama kalinya menggunakan VAR dalam saingan tempatan bermula musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2024 @ 1:57 PM