KARATHU mahu Perak lupakan impian ikat Ronaldinho. -Foto fail
KARATHU mahu Perak lupakan impian ikat Ronaldinho. -Foto fail
Rodly Fadly

 

KUALA LUMPUR: Bekas jurulatih Perak, Datuk M Karathu meminta pasukan itu melupakan impian untuk mendapatkan khidmat legenda bola sepak Brazil, Ronaldinho kerana menganggap gaji yang diminta tidak berbaloi dengan status pemain itu sekarang.

Karathu berkata gaji RM618,000 sebulan terlalu tinggi bagi pemain yang sudah pencen walaupun tidak dinafikan dia mempunyai nama besar dalam bola sepak.

“Janganlah membazir kerana jumlah yang diminta itu bukan kecil. Kalau sebulan RM618,000, cuba kita darabkan dengan 12 bulan, maknanya pasukan perlu berbelanja hampir RM7.5 juta setahun untuk seorang pemain,” kata Karathu.

“Soal mampu atau tidak bukan persoalan, kalau mampu sekalipun saya anggap ia tidak berbaloi dan satu pembaziran. Lebih baik wang sebanyak itu kita gunakan untuk pemain tempatan.

“Lagipun pada usia hampir 40 tahun, apatah lagi sudah bersara sejak hampir setahun, adakah prestasinya masih seperti dahulu?”

Namun Karathu berkata, jika Perak atau mana-mana pasukan tetap berhajat untuk melamar Ronaldinho, mereka perlu mengujinya terlebih dahulu bagi memastikan pembelian itu benar-benar berbaloi.

“Kita tidak nafikan Ronaldinho adalah satu nama besar yang boleh menjadi daya penarik tapi nama sahaja tidak menjamin kejayaan kerana yang lebih penting adalah prestasi di dalam padang.

“Kalau dia bagus penyokong akan datang stadium tapi jika gagal mempamerkan prestasi seperti diharapkan, penyokong akan menolaknya walaupun dia seorang bintang,” katanya.

Ronaldinho, 38, yang mengecap pelbagai kejayaan bersama Barcelona dan AC Milan serta turut menjuarai Piala Dunia bersama Brazil pada tahun 2002, mengumumkan persaraan pada Januari lalu dengan kelab terakhir diwakili adalah Fluminense.

Semalam, Sukan NSTP melaporkan ejen Ronaldinho menetapkan gaji RM618,000 sebulan bagi mana-mana pasukan yang berminat mendapatkan khidmat bekas bintang Piala Dunia itu.

Jumlah disebutkan itu sudah tentu sedikit sebanyak membangkitkan Persatuan Bola sepak Amatur Perak (PAFA) daripada mimpi yang sebelum itu menyatakan minat terhadap pemain itu bagi memperkuatkan cabaran mereka dalam pertandingan kelayakan Liga Juara-Juara Asia, musim depan.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 September 2018 @ 12:18 PM