ERIK ten Hag memberi arahan kepada Tyrell Malacia. -FOTO EPA
ERIK ten Hag memberi arahan kepada Tyrell Malacia. -FOTO EPA
Agensi

London: Erik ten Hag berharap perancangan rapinya sepanjang rehat Piala Dunia akan memastikan Manchester United kekal berada di landasan untuk menduduki empat tempat teratas dan menjulang trofi.

United menamatkan cuti 38 hari daripada aksi kompetitif dengan kemenangan 2-0 pusingan keempat Piala Liga ke atas Burnley, akan meneruskan kempen Liga Perdana bertemu Nottingham Forest di Old Trafford esok.

United kini menduduki tempat kelima, tiga mata di belakang pasukan di kelompok empat terbaik sebelum saingan disambung semula dengan Ten Hag akan meneruskan persiapan untuk merebut tempat kelayakan ke Liga Juara-Juara sebelum musim berakhir.

Ditanya sama ada rehat pertengahan musim sukar, Ten Hag berkata: "Memang, Kami mempunyai rancangan bagaimana untuk melakukannya dan bagaimana menguruskan pemain.

"Semuanya berdasarkan individu. Setiap orang tidak sama, tiada siapa mempunyai program atau minit yang sama. Mereka bermain dalam posisi berbeza dan umur yang berbeza.

"Kami cuba memberi perancangan kepada semua pemain dan kami tahu saingan akan bermula selepas lima atau enam hari selepas Piala Dunia tamat.

"Liga Perdana akan bersambung dengan pantas jadi semua pemain perlu bersedia untuk itu, pengurus, kakitangan kejurulatihan dan pemain perlu menerimanya.

"Kami mahukan trofi, kami mahu pasukan yang kuat untuk bertarung merebut trofi. Kami perlu menyesuaikan diri, melakukannya dengan bijak dan berharap dapat beraksi dan mendapat keputusan yang betul."

Perkembangan United di Piala Liga mengukuhkan harapan Ten Hag untuk menamatkan kemarau trofi kejuaraan sejak 2017.

Menyambung semula kempen Liga Perdana mereka dengan kemenangan menentang Nottingham Forest adalah penting untuk menghidupkan peluang ke Liga Juara-Juara selepas terlepas peluang musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Disember 2022 @ 10:49 AM