Allahyarham Man Karen (kiri) yang juga pemain bass Rusty Blade bersama anggota kumpulan itu, Khalid Mobin (gitar) dan Zan (dram).
Allahyarham Man Karen (kiri) yang juga pemain bass Rusty Blade bersama anggota kumpulan itu, Khalid Mobin (gitar) dan Zan (dram).

Kuala Lumpur: Pemain bass kumpulan rock legenda, Rusty Blade iaitu Sulaiman Ibrahim atau Man Karen meninggal dunia di Jurong, Singapura, pagi hari ini.

Berita sedih itu disampaikan pemain gitar Rusty Blade, Khalid Mobin di Facebook, hari ini.

Difahamkan, Man yang pernah menganggotai kumpulan Rockers meninggal dunia akibat kanser otak tahap empat. Allahyarham pernah menjalani pembedahan akibat penyakit itu pada 2022.

Jenazah dikebumikan kira-kira jam 2 petang, di Singapura, hari ini.

Rusty Blade yang turut dianggotai Yantzen (penyanyi), Md Noor Hendrix (gitar) dan Zan (dram) antara kumpulan rock legenda di Malaysia dan Singapura.

Man menyertai Rusty Blade dari kumpulan Rockers pada 1988 menggantikan pemain bass asalnya, Razak.

Bersama Rusty Blade, Man tampil dengan album Awas pada 1989 yang juga album terakhir Rusty Blade.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2024 @ 3:40 PM