Prospek beragama Islam menunaikan solat Sunat Aidiladha di Dataran B, Pusat Pemulihan Akhlak hari ini. FOTO BERNAMA
Prospek beragama Islam menunaikan solat Sunat Aidiladha di Dataran B, Pusat Pemulihan Akhlak hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Batu Gajah: Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Batu Gajah buat julung kalinya menganjurkan majlis ibadah korban yang disertai oleh prospek (penghuni) pusat tahanan itu.

Pengarahnya Penolong Komisioner Penjara S Tanabal berkata, program yang bermula selepas selesai solat sunat Aidiladha itu dijalankan secara gotong-royong, bermula daripada proses menyembelih, melapah dan memasak oleh prospek sendiri.

"Buat pertama kali dalam sejarah PPA Batu Gajah kita buka ruang kepada prospek untuk mengendalikan sendiri ibadah korban, kebiasaannya kita lakukan di luar pusat tahanan bersama orang awam, kali ini kita buat kelainan sedikit.

"Hari ini kita laksanakan sembelihan sembilan ekor kambing," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, program itu bertujuan mengeratkan hubungan antara prospek dan kakitangan PPA Batu Gajah termasuk dalam kalangan prospek bukan beragama Islam.

"Ini adalah salah satu pendekatan yang kita ambil melalui program kerohanian kerana kita mahu ubah pesalah jenayah undang-undang kepada insan yang lebih beradab iaitu dengan menerapkan disiplin, kerohanian dan pendidikan .

"Mungkin sebelum ini mereka tidak terdedah, jadi kita beri peluang ini agar mereka turut mengambil iktibar dan pengajaran daripada ibadah korban yang kita laksanakan agar dekat dengan agama," katanya.

Beliau seterusnya merakamkan penghargaan kepada Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang turut menghulur sumbangan bagi menjayakan ibadah korban hari ini.

Sementara itu, program ibadah korban itu menjadi lebih bermakna apabila dua prospek di PPA berkenaan turut serta melaksanakan ibadah dengan menyumbang haiwan ternakan tiga ekor kambing dan seekor lembu.

Seorang prospek Zul (bukan nama sebenar), 36, dari Bentong, Pahang berkata, dia bersyukur diberi kesempatan untuk melakukan ibadah korban dengan menyumbang tiga kambing.

"Saya bersyukur ibadah korban tahun ini dapat juga saya sertai niat untuk anak saya yang berusia 11 tahun, walaupun saya sedih tidak dapat bersama dengannya untuk menjalani ibadah kali ini.

"Memang sesuatu yang amat berbeza menjalani ibadah korban tahun ini, biasanya kita bersama ahli keluarga, rakan-rakan, namun kali ini kita bersama tahanan yang lain, namun saya bersyukur diberikan peluang dan terima kasih kepada PPA Batu Gajah kerana beri kami peluang ini," katanya.

Sementara itu seorang lagi prospek Kudi (bukan nama sebenar), 38, yang berasal dari Kulim, Kedah berkata, walaupun berada dalam tahanan sejak lapan bulan lalu, anggota keluarganya tetap ingin bersedekah.

"Alhamdulillah menjadi amalan keluarga saya di kampung setiap tahun akan menumbangkan beberapa ekor lembu untuk diagihkan kepada golongan memerlukan, jadi saya niatkan tahun ini nak buat juga namun kali ini untuk tahanan di sini.

"Saya bersyukur kerana tahun ini dapat turut serta melakukan ibadah korban walaupun sedang menjalani hukuman dan ini saya niatkan untuk isteri saya dan ahli keluarga saya di kampung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2024 @ 4:02 PM