AKSI Fernandes meledak voli kemenangan United.  FOTO Reuters
AKSI Fernandes meledak voli kemenangan United. FOTO Reuters
AFP

Burnley, United Kingdom: Erik ten Hag percaya kemenangan 1-0 Manchester United di Burnley mampu menjadi detik kebangkitan mereka selepas berdepan permulaan musim yang bermasalah.

Jaringan tunggal Bruno Fernandes menamatkan tiga kekalahan berturut-turut Red Devils dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL di Stadium Turf Moor awal pagi tadi.

Kapten United itu meledak voli cantik dalam kotak penalti selepas mendapat hantaran jauh Jonny Evans sejurus sebelum rehat.

Kemenangan membolehkan United melonjak ke tangga kelapan liga sekali gus meredakan tekanan ke atas pengurus Ten Hag.

"Ini hanya satu kemenangan tetapi apa yang kami lihat ialah kerjasama dan perjuangan - semangat yang sangat bagus di bilik persalinan," kata Ten Hag.

"Apa ada nampak ialah apabila anda bertahan dengan 11 pemain dan melakukannya bersama, sukar untuk lawan memecah kebuntuan."

Percubaan Zeki Amdouni terkena tiang untuk Burnley dan memaksa penjaga gol Andre Onana bekerja keras pada babak pertama tetapi Clarets kekal tanpa kemenangan selepas kembali ke EPL dan tercorot di dasar liga.

"Kami sangat tenang. Kami tahu kami berdepan permulaan sangat sukar," kata pengurus Burnley Vincent Kompany.

"Namun saya tak nampak sebarang alasan untuk berpendapat pasukan kekurangan karakter atau ruang untuk berkembang."

Krisis kecederaan United membolehkan Evans yang berusia 35 tahun beraksi di pertahanan tengah buat kali pertama pada penampilan keduanya di kelab itu.

Pemain Ireland Utara itu mempamerkan aksi bertenaga sehingga tamat permainan sekali gus mengukuhkan benteng United yang sebelum ini bolos 10 gol dalam tiga perlawanan terakhir.

"Ia malam paling manis dalam hidup saya," kata Evans yang menjulang tujuh trofi utama ketika tampil kali pertama di Old Trafford.

"Saya gembira dengan setiap minit perlawanan. Ia aksi ke-200 saya bersama United dan saya tak pernah terfikir mencapai angka itu."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 September 2023 @ 7:34 AM