RONALDO teruja mahu kerjasama dengan Ten Hag. -FOTO EPA
RONALDO teruja mahu kerjasama dengan Ten Hag. -FOTO EPA
Agensi

London: Cristiano Ronaldo memberi amaran bahawa Erik ten Hag memerlukan masa untuk mengubah nasib Manchester United.

Ten Hag yang menamatkan tempohnya bersama Ajax dengan memenangi gelaran Eredivise pada hujung minggu lalu, akan mengetuai United pada musim panas ini dan bakal berdepan cabaran yang sukar dalam usaha untuk memperbaiki nasib kelab itu.

United kini berada di kedudukan keenam Liga Perdana, mengharungi kesukaran musim ini dengan bintang Portugal itu berkata, walaupun United teruja untuk menjalinkan kerjasama di bawah Ten Hag, kesabaran amat diperlukan untuk Ten Hag membina semula kelab itu.

Ronaldo memaklumkan: "Apa yang saya tahu mengenai beliau adalah beliau melakukan kerja yang hebat untuk Ajax, beliau seorang jurulatih berpengalaman. Tapi kita perlu memberi dia masa.

"Perkara perlu diubah mengikut cara yang beliau mahu.

"Saya harap kami akan berjaya, sudah tentu kerana jika anda berjaya, keseluruhan Manchester akan berjaya juga. Saya doakan yang terbaik untuk beliau.

Ronaldo, 37, berharap Ten Hag akan menamatkan penantian United untuk trofi kejuaraan ketika dia kini mempersiapkan diri untuk tahun kedua sejak kembali dari Juventus.

Ronaldo berkata: "Kami gembira dan teruja, bukan hanya pemain tetapi penyokong juga.

"Saya doakan yang terbaik untuk beliau dan marilah kita percaya bahawa tahun depan, kita akan memenangi trofi.

Ronaldo memberi komen mengenai ketibaan Ten Hag dan memaklumkan bahawa dia mungkin akan kekal di United biarpun mereka tidak akan beraksi dalam Liga Juara-Juara musim depan.

Walaupun Untied kurang konsisten pada kempen kali ini, Ronaldo masih berjaya menyumbang 24 gol, 18 daripadanya dilakukan dalam saingan Liga Perdana.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mei 2022 @ 8:16 AM