BARISAN pemain TFC meraikan kejayaan menumbangkan tuan rumah, Kuching City FC. -FOTO Facebook TFC
BARISAN pemain TFC meraikan kejayaan menumbangkan tuan rumah, Kuching City FC. -FOTO Facebook TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Keupayaan pemain Terengganu FC (TFC) mengekalkan rekod tanpa tewas dalam sembilan perlawanan berturut-turut ternyata menggembirakan kem kejurulatihan skuad Penyu itu.

Penolong jurulatih, Badrul Afzan Razali yang memangku sementara jawatan ketua jurulatih selepas pengendalinya, Tomislav Steinbruckner pulang ke Croatia atas urusan perkahwinan anaknya meluahkan perasaan lega dengan peningkatan corak permainan pemain.

Petang semalam, kemenangan TFC 2-0 menumbangkan tuan rumah, Kuching City FC (KCFC) di Stadium Negeri, Kuching menyerlahkan lagi keinginan skuad Penyu itu untuk mengintai kedudukan lebih baik dalam saingan Liga Super.

Bagaimanapun Badrul Afzan menegaskan anak buahnya tidak boleh keciciran mata dalam baki lima perlawanan lagi bagi memastikan misi menamatkan kedudukan lebih cemerlang berhasil.

"Sejujurnya saya begitu berpuas hati dengan corak permainan dan komitmen yang diperagakan pemain selepas berjaya membawa pulang tiga mata berharga biarpun beraksi di tempat lawan pada sebelah petang.

"Apa yang saya harapkan pemain mampu mengekalkan momentum kemenangan dalam aksi seterusnya berdepan Selangor FC pada perlawanan suku akhir Piala Malaysia nanti," katanya.

Pada aksi petang semalam, pemain pertahanan, Shahrul Nizam Ros Hasni mencetak gol pertama skuad Penyu pada babak pertama sebelum penyerang meningkat naik, Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob menamatkan perjuangan skuad The Cats selepas menjaringkan gol kedua pada separuh masa kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Ogos 2023 @ 3:14 PM