Muhammad Rahadiazli Rahalim (kiri), Suhaimi Husin (tengah) dan Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin kekal bersama TFC pada musim ini. - Ghazali Kori
Muhammad Rahadiazli Rahalim (kiri), Suhaimi Husin (tengah) dan Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin kekal bersama TFC pada musim ini. - Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pasukan yang berminat untuk mendapatkan khidmat penjaga gol muda, Muhammad Rahadiazli Rahalim boleh melupakan hasrat itu.

Hal ini kerana penjaga gol kebangsaan Bawah 23 Tahun (B-23) itu sah kekal beraksi dengan pasukan Terengganu FC (TFC) dalam mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/2025.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd Mohd Sabri Abas berkata, penjaga gol tinggi lampai kelahiran Setiu itu tidak akan dilepaskan kepada pasukan lain walaupun secara pinjaman.

Jelasnya, biarpun desas-desus sebelum ini penjaga gol itu bakal berhijrah bersama pasukan lain untuk mencari minit permainan, namun situasi itu tidak menjadi kenyataan sebaliknya kekal menjadi ahli keluarga TFC.

"Pemain itu (Rahadiazli) sah kekal bersama pasukan TFC dalam mengharungi saingan Liga M pada musim ini walaupun sebelum ini dia disarankan berhijrah bersama pasukan lain untuk mencari minit permainan.

"Lagipun Rahadiazli antara penjaga gol terbaik dalam negara selain Terengganu, buktinya dia dipilih menyarung jersi skuad kebangsaan B-23 selain kontraknya masih berbaki sehingga akhir tahun depan.

"Bagaimanapun saya mengharapkan dia mampu meningkatkan lagi prestasinya bagi memastikan persaingan sihat berlaku dalam pasukan bersama dua lagi penjaga gol," katanya.

Selain Rahadiazli yang lebih mesra dipanggil 'Abe', TFC mempunyai dua lagi penjaga gol kebangsaan iaitu Suhaimi Husin dan Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin.

Berdasarkan rekod pada musim lalu, penjaga gol yang lahir daripada skuad Piala Belia Terengganu itu hanya beraksi dalam tujuh perlawanan bersama TFC berikutan ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner lebih kerap menggunakan khidmat penjaga gol berpengalaman, Suhaimi.

Namun pada musim 2022, pemain berusia 23 tahun yang pernah menyarung jersi skuad senior kebangsaan adalah penjaga gol utama skuad Penyu termasuk beraksi pada pentas final Piala FA berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2024 @ 9:44 AM