FAISAL kekal bersemangat walaupun ditimba musibah. FOTO AZIAH AZMEE
FAISAL kekal bersemangat walaupun ditimba musibah. FOTO AZIAH AZMEE
Firdaus Hashim


Shah Alam: Jiwa dan semangat Faisal Halim ibarat 'pendekar Melayu' yang tidak mudah mundur apabila dijangka kariernya tetap bersinar di persada bola sepak negara.

Keyakinan itu dilontarkan Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar yang menolak dan menafikan andaian bahawa karier Faisal bakal berakhir ekoran insiden simbahan asid di tubuhnya.

Jelas Shahril, semangat pemain kebangsaan itu cukup membara biarpun tubuhnya mungkin dilihat kecil namun memiliki jiwa yang amat besar.

"Saya tak boleh jamin (tentang karier Faisal Halim), hanya Allah SWT saja boleh jamin. Tapi jauh di sudut hati ini, saya yakin dia InsyaAllah (akan terus bermain bola sepak sebagai pemain profesional).

"Sebab semua tahu, orangnya kecil tapi semangat dia (besar). Saya rasa semangat saya pun tak macam semangat dia," katanya ketika ditemui di lobi hospital di sini, hari ini.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan Faisal terpaksa mengharungi beberapa siri pembedahan bagi merawat lecur tahap empat dialaminya selepas diserang oleh dua individu tidak dikenali pada Ahad lalu.

Faisal atau lebih dikenali dengan jolokan Mickey disahkan doktor mengalami kecederaan di bahagian muka, leher, lengan dan badan kesan daripada curahan asid itu.

Tambah Shahril lagi, sekurang-kurangnya enam bulan diperlukan sebelum Faisal benar-benar pulih sepenuhnya daripada kecederaan termasuk memulihkan emosi dan mentalnya.

"Saya yakin apa yang saya nampak hari ini, apa yang dimaklumkan oleh doktor Mickey akan pulih. Tapi harus ingat apa yang Mickey lalui, akan melalui trauma yang bukan mudah.

"Aspek rawatan pemulihan dia dan satu lagi aspek psikologi saya rasa sekurang-kurangnya enam bulan dia boleh balik (bermain semula) walaupun bukan ke tahap terbaiknya," kata Shahril.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2024 @ 2:04 PM