RONALDO dikaitkan dengan perpindahan ke Man United. FOTO AFP
RONALDO dikaitkan dengan perpindahan ke Man United. FOTO AFP
Agensi

London: Paul Pogba dan Cristiano Ronaldo mungkin boleh menjadi antara pertukaran pemain paling berprofil tinggi dalam sejarah bola sepak, menurut laporan dari Itali.

Gazzetta dello Sport melaporkan Ronaldo mula berteka-teki sama ada akan kekal di Turin untuk musim terakhir seperti terkandung dalam kontraknya.

Bagaimanapun, bintang Portugal itu dikatakan lebih selesa untuk berhijrah dengan United menjadi pilihan utamanya manakala Pogba pula kembali menyertai Juventus.

"Ronaldo seperti sedang membuat pertimbangan terutama sekali selepas khabar angin sejak beberapa minggu lalu mengaitkannya ada menghubungi Manchester United.

"Ketika berita Massimiliano Allegri kembali ke Juventus menjadi perbualan, topik membabitkan Ronaldo juga dibincangkan," tulis akhbar harian Itali itu merujuk Allegri yang kembali membimbing Juventus menggantikan Andrea Pirlo.

"Di United, kedudukan Ole Gunnar Solskjaer dan Paul Pogba terancam seperti musim lalu. Pogba masih berbaki kontrak semusim lagi tetapi dia juga mungkin mahu kembali ke Turin.

"Juventus mahu £25 juta (RM146.7 juta) untuk menyelesaikan kontrak Ronaldo. United mungkin meminta pulangan ekonomi yang memihak kepada mereka.

"Tapi pertama sekali, kita perlu melihat sama ada perjanjian ini dapat dicapai bersama kapten Portugal itu."

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Mei 2021 @ 8:03 PM