Reaksi berbeza dua jurulatih Simeone (tengah) dan Allegri (kanan) ketika perlawanan Liga Juara-Juara. FOTO AFP.
Reaksi berbeza dua jurulatih Simeone (tengah) dan Allegri (kanan) ketika perlawanan Liga Juara-Juara. FOTO AFP.
Reuters

JURULATIH Juventus, Massimiliano Allegri memuji prestasi membanggakan pemainnya selepas kejayaan menewaskan Atletico Madrid 3-0, sekali gus membolehkan pasukan itu mara ke peringkat suku akhir, Liga Juara-Juara.

Allegri sebelum ini bimbang dengan keupayaan barisan pemainnya tidak dapat mengatasi ketinggalan 2-0 dalam perlawanan pertama lalu.

“Pemain tahu bagaimana menguasai permainan dengan cara terbaik, beraksi dalam rentak pantas dan memanfaatkan ruang setiap sudut padang,” katanya.

“Saya mahukan kami beraksi seperti itu dalam perlawanan pertama tetapi saya tukar kepada sesuatu yang lain dan ia tidak berlaku seperti yang diharapkan.

“Aksi kali ini sangat bersemangat, hebat dan tenang. Kami menunggu saat ini sudah lama dengan corak permainan berisiko tinggi selain memberi tekanan kepada lawan dan kami berjaya melakukannya.”

Rakan sejawatannya, Diego Simeone, yang meletakkan sasaran mengekalkan jaringan pendahuluan mereka, tidak banyak membantah mengenai keputusan itu.

"Juventus beraksi lebih baik dan berhak menang perlawanan itu. Mereka memberi tekanan kuat kepada kami,” katanya.

“Kamu harus mengucapkan tahniah kepada lawan apabila mereka beraksi lebih baik dan mencatat keputusan seperti hari ini.

“Tentunya kami melakukan banyak kesilapan. Mereka mempunyai taktikal yang lebih baik dan memenangi cabaran merebut bola. Itu sebabnya mereka menang perlawanan itu.

Tambah pengendali dari Argentina itu : “Ia tidak hanya mengenai komitmen, kerja keras atau kesungguhan... mereka menewaskan kami kerana mereka lebih baik dan itu yang berlaku, apa yang kamu harus lakukan adalah terus bekerja keras dan kenal pasti punca kelemahan pasukan.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2019 @ 9:47 AM