GORDIC menjaringkan dua gol ketika KDA FC menewaskan NSFC di Stadium Darul Aman, malam tadi. FOTO KDA FC
GORDIC menjaringkan dua gol ketika KDA FC menewaskan NSFC di Stadium Darul Aman, malam tadi. FOTO KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar: Ketua Jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Nafuzi Zain berpuas hati dengan perkembangan semasa penyerang utamanya, Milos Gordic yang bekerja keras mempertingkatkan ketajamannya.

Malah, Gordic menyumbat dua gol yang membantu KDA FC menang 2-0 ke atas Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium Darul Aman, malam tadi, sekali gus melegakan penyokong.

"Tugas Gordic adalah menjaringkan gol, jadi dua gol pada perlawanan itu sudah pasti sesuatu yang bagus untuk membina keyakinan diri dan saya mahu dia terus bekerja keras untuk mendapat aksi terbaik.

"Ada peningkatan ditunjukkannya dna saya yakin dia akan meningkat dari semasa ke semasa.

"Namun, kecergasannya belum mencapai 100 peratus dan saya memantau dari hari pertama dia datang ke sini.

"Kita dalam tempoh pembentukan pasukan dan belum ke peringkat akhir dari segi kemantapan persefahaman terutama pemain baharu," kata Nafuzi.

Nafuzi berkata, dua pemain iaitu Sony Norde dan Wan Amirul Afiq masih dalam tempoh pemulihan akibat kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2024 @ 9:51 PM