DE VEN meraikan kejayaan meledak gol buat Spurs. -FOTO Reuters
DE VEN meraikan kejayaan meledak gol buat Spurs. -FOTO Reuters
Reuters

London: Tottenham Hotspur meningkatkan harapan untuk layak ke Liga Juara-Juara selepas melakar kemenangan 3-1 di tempat sendiri mengatasi Nottingham Forest yang bergelut di zon penyingkiran untuk melonjak ke tangga keempat Liga Perdana.

Gol babak kedua oleh Micky van de Ven dan Pedro Porro, selepas penyerang Forest, Chris Wood memadamkan gol sendiri Murillo pada babak pertama, menyaksikan Spurs mengambil kesempatan susulan pencabar mereka Aston Villa dan Manchester United keciciran mata hujung minggu ini.

Kemenangan Tottenham itu menyaksikan mereka berkongsi kedudukan bersama Villa dengan 60 mata namun memiliki kelebihan satu perlawanan dalam tangan manakala United mengumpul 49 mata selepas seri 2-2 dengan Liverpool.

Jurulatih Spurs, Ange Postecoglou, bagaimanapun, berkata bahawa dia "tidak peduli tentang perebutan tempat keempat, apa yang saya pentingkan ialah cara pasukan itu berkembang."

Tottenham mendahului selepas 15 minit apabila Murillo dari Brazil, yang beberapa minit terdahulu hampir menjaringkan gol menakjubkan dari dalam kawasannya sendiri, tertampan masuk hantaran silang Timo Werner ke dalam golnya sendiri.

Spurs berleluasa dan gol kedua seperti tidak dapat dielakkan hingga Forest menyamakan kedudukan bertentangan dengan arus perlawanan pada minit ke-27 menerusi gol keempat Wood dalam empat perlawanan.

Forest berasakan Spurs patut beraksi 10 pemain sejurus sebelum rehat apabila James Maddison kelihatan menumbuk Ryan Yates ketika insiden tanpa bola tetapi VAR enggan mencelah.

"Ia tidak kelihatan dia menumbuknya, dia menumbuknya," kata pengurus Forest, Nuno Espirito Santo kepada wartawan.

"Saya terkejut VAR tidak memberitahu (pengadil) Simon (Hooper) untuk menyemaknya semula kerana secara jujurnya, Maddison hilang pertimbangan dan ia satu tumbukan ke perut."

Kekalahan itu meninggalkan Forest di tangga ke-17 dengan 25 mata daripada 32 perlawanan, di atas pasukan ketiga tercorot Luton Town hanya menerusi perbezaan jaringan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2024 @ 12:16 PM