MADDISON bertepuk tangan ke arah penonton selepas menjaringkan dua gol yang membantu Leicester City menewaskan Nottingham Forest, 4-0. FOTO Reuters
MADDISON bertepuk tangan ke arah penonton selepas menjaringkan dua gol yang membantu Leicester City menewaskan Nottingham Forest, 4-0. FOTO Reuters
Reuters

Leicester: Pemain tengah Leicester City, James Maddison sepatutnya berada dalam skuad England ke Piala Dunia, kata pengurus kelab itu, Brendan Rodgers.

Ia susulan Maddison beraksi cemerlang dan menjaringkan dua gol ketika mereka menang 4-0 ke atas kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Nottingham Forest, awal pagi hari ini.

Pemain tengah menyerang itu dikatakan terlepas pandang oleh pengurus England, Gareth Southgate sejak satu penampilan bersama skuad dunia sebagai pemain gantian babak kedua ketika menentang Montenegro ketika aksi pusingan kelayakan Euro 2020 pada 2019.

"Saya fikir, ia agak memalukan kepada negara dan pemain itu sendiri (dia tidak berada dalam skuad England)," kata Rodgers kepada televisyen Sky Sports.

"Anda lihat bakat dan tahap prestasinya pada 18 bulan terakhir memang jelas. Saya fikir hanya Harry Kane yang terbabit dalam lebih banyak gol dalam kalangan pemain Inggeris.

"Dia adalah pemain yang cemerlang dan saya harap dalam masa beberapa bulan ini dia dapat meneruskan prestasi sejak 18 bulan lalu dan boleh berada dalam skuad England," tambah Rodgers.

"Apabila dia berada dalam pasukan ketika anda berdepan masalah dalam perlawanan, anda tahu dia boleh menewaskan pemain lawan, membuat hantaran dan anda lihat sepakan percumanya malam ini. Dia ada banyak kualiti untuk sekurang-kurangnya berada dalam skuad."

Kemenangan 4-0 itu adalah yang pertama bagi Leicester dalam saingan EPL musim ini dan mereka tidak lagi menghuni tangga tercorot liga, sekali gus meredakan sedikit tekanan terhadap Rodgers.

Sebaliknya, tekanan beralih kepada pengendali Forest, Steve Cooper, apabila pasukan yang baru dipromosi itu kini menduduki tangga tercorot selepas lima kekalahan berturut-turut.

The Foxes yang hanya memungut satu mata daripada tujuh perlawanan awal dan satu-satunya pasukan belum menang dalam liga utama, memintas Forest kerana perbezaan jaringan.

Maddison menjaringkan gol pertama pada minit ke-25 menerusi rembatan dari luar kotak penalti sebelum Harvey Barnes menggandakan pendahuluan dua minit kemudian.

Mimpi ngeri penjaga gol Forest, Dean Henderson berterusan apabila Maddison menjaringkan gol kedua peribadi menerusi sepakan percuma pada minit ke-35.

Pemain gantian, Patson Daka yang masuk menggantikan bekas penyerang England, menjaringkan gol pada minit ke-73 hasil hantaran lintang Maddison.

"Secara jujurnya, ia memang sangat lama," kata Rodgers.

"Kami sepatutnya menang sebelum ini dan kami melalui perlawanan yang sukar. Tetapi, saya fikir kami cemerlang malam ini dengan kepantasan dan tekanan dilakukan."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2022 @ 8:05 AM