PEMAIN Liverpool meraikan kemenangan ke atas Sheffield United di Anfield awal pagi tadi.  FOTO Reuters
PEMAIN Liverpool meraikan kemenangan ke atas Sheffield United di Anfield awal pagi tadi. FOTO Reuters
AFP

London: Liverpool berkunjung ke Manchester United pada Ahad ini dengan misi mengukuhkan cengkaman selaku pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) seterusnya mencerahkan peluang meraih gelaran ke-20.

Dalam pertarungan sengit tiga penjuru, Arsenal dan Manchester City mengharapkan Liverpool keciciran mata manakala persaingan kelompok empat teratas dan zon penyingkiran turut menjadi perhatian.

Kekalahan di tangan United pada suku akhir Piala FA masih lagi pedih terasa dan tidaklah mengejutkan jika Alex Mac Allister dan rakan sepasukannya mahu membalas dendam di Old Trafford.

Skuad Jurgen Klopp dua kali mendahului ketika kekalahan 3-4 yang meyaksikan Amad Diallo menjaringkan gol kemenangan United pada minit akhir masa tambahan.

Impian quadruple Liverpool musnah tetapi mereka boleh menebus kekalahan dengan menambah duka skuad Erik ten Hag yang menderita pada saat akhir ketika tewas 3-4 di tangan Chelsea, awal pagi tadi.

Mac Allister yang meledak rembatan roket ketika Liverpool menewaskan Sheffield United 3-1 menegaskan membalas dendam kekalahan aksi Piala FA bukanlah motivasi utama pada perlawanan Ahad ini.

"Saya tak tahu jika ia aksi balas dendam tapi yang pasti ia perlawanan penting kepada kami kerana jika kami mahu menang sesuatu, kami perlu menang setiap perlawanan dan itu sasaran kami," kata Mac Allister yang pasukannya dua mata di depan Arsenal dengan baki lapan perlawanan.

Arsenal berkunjung ke Brighton dengan misi terus menekan Liverpool manakala pasukan di tangga ketiga City yang ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu itu akan berkunjung ke Crystal Palace.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2024 @ 12:57 PM