MAC Allister (kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
MAC Allister (kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
AFP

Liverpool: Alexis Mac Allister membawa Liverpool kembali ke puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas jaringan hebat pemain Argentina itu menjadi pencetus kemenangan 3-1 ke atas Sheffield United awal pagi tadi.

Skuad Jurgen Klopp cemas selepas gol awal Darwin Nunez disamakan jaringan sendiri Conor Bradley pada babak kedua tetapi Mac Allister melegakan penyokong di Anfield hasil rembatan 'roket' dari penjuru kotak penalti dan Cody Gakpo mengesahkan kemenangan pada minit akhir perlawanan.

Kemenangan itu membolehkan Liverpool kembali dua mata di depan Arsenal ketika berbaki lapan perlawanan bagi tiga pasukan yang bersaing sengit memburu gelaran liga.

Kemenangan 2-0 Arsenal ke atas Luton memintas Liverpool selaku pendahulu liga manakala Manchester City yang membelasah Aston Villa 4-1 memastikan mereka terus tidak ketinggalan dalam persaingan.

Namun Liverpool yang tidak tewas 28 aksi liga di tempat sendiri kini semakin hampir mengukuhkan cengkaman untuk dinobatkan juara Inggeris sekali gus menyamai rekod kali ke-20 dan yang pertama sejak 2020.

"Kami perlukan jaringan hebat Macca untuk mengubah keputusan. Impak yang dibawanya sangat besar," kata Klopp mengenai Mac Allister yang muncul pemain tengah Liverpool pertama menjaringkan gol atau mencipta bantuan jaringan dalam enam perlawanan berturut-turut sejak Steven Gerrard pada 2013.

Skuad Klopp yang mengejar treble sudah pun menjuarai Piala Liga dan berdepan Atalanta di suku akhir Liga Juara-Juara ketika mereka mengharapkan hadiah perpisahan bermakna buat pengendali dari Jerman itu pada musim terakhirnya.

Bagaimanapun, mereka perlu meningkatkan lagi prestasi jika mahu mengatasi tekanan Arsenal dan juara bertahan City yang ketinggalan tiga mata di belakang Liverpool.

"Permainan kami secara umumnya sehingga saya fikir melakukan pertukaran tidak begitu bagus. Itu kami akui," kata Klopp.

"Ia rumit, mereka juga bijak bertahan tapi anda perlu melakukannya lebih baik lagi. Anda perlu tukar permainan daripada bangku simpanan, jadi saya sangat gembira dengan itu."

Liverpool berkunjung ke Manchester United pada Ahad ini dalam aksi liga yang penting bagi kedua-dua musuh tradisi itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2024 @ 7:27 AM