ZAINULZAHIN Sinuan berusaha menghalang pintu golnya daripada terus dibolosi. FOTO MOHD RAFI MAMAT
ZAINULZAHIN Sinuan berusaha menghalang pintu golnya daripada terus dibolosi. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Gawang bolos yang kini mencecah 15 gol daripada tiga perlawanan menimbulkan rasa tidak senang buat penjaga Pahang Rangers FC, Zainulzahin Sinuan.

Saingan Divisyen 1 Liga Futsal Perdana Kebangsaan Malaysia (MPFL) yang begitu mencabar musim ini menjadi antara faktor pintu gol Tok Gajah banyak dibolosi selepas melalui tiga perlawanan.

Menurut Zainulzahin, pada perlawanan pertama bertemu Shah Alam City ditempat lawan, gawang Pahang Rangers telah bolos enam gol selepas mencatat keputusan seri 6-6.

Pada perlawanan kedua bertemu Selangor FC ditempat sendiri, lawan menghasilkan empat gol selepas mencatat kemenangan 8-4. Perlawanan ketiga bertemu Sabah FC, minggu lalu menyaksikan keputusan Tok Gajah menang 7-5.

Katanya, setiap perlawanan gawang Pahang Rangers seolah mudah bolos dengan jaringan yang agak besar walaupun berjaya mencatat kemenangan selesa.

"Musim ini begitu mencabar buat saya sebagai penjaga utama Pahang Rangers, banyak faktor menjurus pada lawan dapat menghasilkan jaringan antaranya benteng pertahanan yang agak longgar.

"Faktor lain pasukan lawan memberi 200 peratus kesungguhan untuk mencatat kemenangan dalam memastikan kemenangan dapat capai seterusnya berpeluang menjulang kejuaraan," katanya, dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, dia telah melakukan yang terbaik untuk menghalang gawang Pahang Rangers daripada terus bolos, namun masih lagi banyak kelemahan yang perlu diperbaiki bagi memastikan pintu gol Tok Gajah tidak terus menerima jaringan lawan.

Zainulzahin menambah, format Divisyen 1 MPFL musim ini berbeza dengan musim lalu, saingan membabitkan lapan pasukan begitu mencabar bermula hingga akhir perlawanan. Setiap keputusan akan menjadi penentu pada pungutan mata.

"Saya berharap pada perlawanan akan datang pintu gol saya tidak lagi bolos dengan jaringan yang banyak, imej selaku juara berganda musim lalu kini sedikit terjejas apabila 15 gol bolos pada tiga perlawanan dilalui," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2024 @ 6:13 PM