PEMAIN Pahang Rangers FC menjalani latihan menjelang pertemuan dengan Gombak TOT United di Stadium Tertutup SUKPA, esok. FOTO Ihsan Pahang Rangers
PEMAIN Pahang Rangers FC menjalani latihan menjelang pertemuan dengan Gombak TOT United di Stadium Tertutup SUKPA, esok. FOTO Ihsan Pahang Rangers
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Jurulatih pasukan Pahang Rangers FC, Gerard Casas berharap benteng pertahanan pasukannya dapat mengubah mentaliti dengan tidak mudah hilang tumpuan pada pertemuan dengan Gombak TOT United saingan Liga Futsal Perdana Kebangsaan Malaysia (MPFL) di Stadium Tertutup SUKPA, malam esok.

Menurutnya, pada dua perlawanan sebelum ini bertemu Shah Alam City dan Sabah FC, kita ketinggalan di awal perlawanan sebelum kebangkitan berlaku.

Episod berkenaan tidak sepatutnya berlaku sekiranya pemain pertahanan lebih bersedia menerima asakan lawan hingga melakukan kesilapan.

Katanya, ketika pasukan sedang selesa mendahului lawan, gawang Pahang Rangers juga dilihat mudah bolos kerana mungkin pemain menganggap sudah berada di zon kemenangan hingga tamat perlawanan sedangkan lawan rancak memburu jaringan.

"Saya berharap pemain pertahanan dapat memberi tumpuan sepenuhnya sepanjang perlawanan, ubah mentaliti berpuas hati dan menganggap pasukan sudah berada di ambang kemenangan.

"Pasukan Pahang Rangers memerlukan kemenangan pada perlawanan malam esok dalam memastikan usaha memburu tangga teratas liga menjadi kenyataan," katanya, dihubungi di sini semalam.

Beliau menambah, perlawanan keempat Divisyen 1 dengan Gombak TOT United merupakan perlawanan terakhir sebelum saingan MPFL berehat panjang bagi memberi peluang persiapan pasukan kebangsaan.

Saingan seterusnya bermula pada Mei depan. Casas berkata, pada perlawanan esok sokongan peminat diperlukan dalam usaha meningkatkan semangat pemain, penyokong menjadi nadi tambahan pada barisan pemain untuk mereka memburu kemenangan.

"Dengan pencapaian melakukan dua kali hatrik pada perlawanan sebelum ini, saya berharap awang import kelahiran Brazil, Felipe de Souza dapat terus memburu jaringan untuk membantu Pahang Rangers mencatat kemenangan di gelanggang sendiri.

"Saya berharap peminat setia Tok Gajah dapat datang ramai-ramai Stadium Tertutup SUKPA untuk memberi sokongan pada pemain dalam usaha Pahang Rangers memburu kemenangan ketiga berturut-turut," katanya.

Sementara itu bagi menghargai sokongan peminat setia, kelab Pahang Rangers FC mengadakan program berbuka puasa, 'Pahang Rangers Iftar'yang turut dihadiri pegawai pengurusan kelab dan pemain serta keluarga masing-masing, majlis bermula 6 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2024 @ 3:09 PM