DESAS-DESUS Cools bakal menyertai TFC hanya sekadar khabar angin. FOTO FB FAM
DESAS-DESUS Cools bakal menyertai TFC hanya sekadar khabar angin. FOTO FB FAM
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) menafikan desas-desus mengaitkan bek tengah skuad kebangsaan, Dion Cools bakal beraksi bersama skuad Penyu itu dalam mengharungi Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/2025.

Ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner menjelaskan, pemain berdarah kacukan Malaysia-Belgium itu tidak ada dalam perancangan skuad kendaliannya pada musim ini.

"Kehadiran pemain warisan itu sebagaimana yang disebut-sebut bakal menyarung jersi TFC hanyalah khabar angin sahaja.

"Pemain itu setakat ini tiada dalam perancangan pasukan, lagipun kami sudah mempunyai lima pemain yang bakal menggalas tugas di posisi pertahanan tengah itu termasuk dua tonggak import.

"Jadi sekali lagi saya tegaskan pemain kelab Buriram United dalam Liga Thailand itu tidak bersama TFC pada musim 2024/2025," ujar jurulatih yang lebih mesra dipanggil 'Tommy' itu ketika dihubungi.

Selain pertahanan tengah kelahiran Belanda, Matthew Steenvoorden, TFC mempunyai empat lagi bek tengah iaitu Argzim Redzovic (Montenegro) serta tiga pemain tempatan sedang meningkat naik iaitu Mohamad Shahrul Nizam Ros Hasni, Safwan Mazlan dan Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili.

Penafian Tommy itu menamatkan spekulasi yang mengaitkan kapten skuad Harimau Malaya itu bakal menyarung jersi TFC musim ini.

Faktor perbelanjaan berhemah pada musim ini selain kekangan kewangan menyaksikan skuad Penyu itu lebih berhati-hati merekrut pemain baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2024 @ 7:20 PM