MAGUIRE antara pemain yang berada dalam senarai untuk dilepaskan. FOTO AFP
MAGUIRE antara pemain yang berada dalam senarai untuk dilepaskan. FOTO AFP
Agensi

London: Sir Jim Ratcliffe sedang merancang untuk melakukan 'pembersihan besar-besaran' pada musim panas di Manchester United.

Beliau didakwa sanggup melepaskan seramai 11 pemain kerana ingin membina skuad yang boleh bersaing di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL).

Ratcliffe, 71, menyelesaikan pembelian 27.7 peratus kepentingan dalam kelab itu, Selasa lalu dengan syarat perjanjian itu akan menyaksikan kawalan operasi bola sepak kepada syarikatnya, INEOS ketika dia berusaha untuk menghidupkan semula kegemilangan United seperti satu ketika dahulu.

United dijangka akan berbelanja besar pada musim panas ini untuk membentuk semula skuad itu, namun mengambil kira kebimbangan mematuhi peraturan Fair Play Kewangan (FFP), Ratcliffe bersedia untuk menjual sejumlah besar pemain pada musim panas ini.

Menurut ESPN, Red Devils bersedia menjual 11 pemain dalam pasukan utama.

Manakala Anthony Martial tidak akan ditawarkan kontrak baharu dan akan dibenarkan meninggalkan pasukan secara percuma.

Bekas kapten, Harry Maguire dan bekas duo Real Madrid, Raphael Varane serta Casemiro adalah antara mereka yang berpotensi untuk dijual.

United akan mempertimbangkan bidaan untuk pemain seperti Aaron Wan-Bissaka, Scott McTominay, Victor Lindelof dan Christian Eriksen.

Sementara itu Donny van de Beek, Jadon Sancho, Facundo Pellistri dan Brandon Williams kini dipinjamkan dengan kesemua mereka dibenarkan meninggalkan kelab hujung musim ini.

Ratcliffe jelas mahu meningkatkan kualiti pasukan mereka di seluruh skuad musim panas ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2024 @ 9:08 AM