AFP

Manchester: Pemilik bersama baharu Manchester United, Jim Ratcliffe berkata, gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu perlu belajar daripada Manchester City dan Liverpool ketika dia senada dengan Alex Ferguson apabila berikrar untuk menyingkirkan dua kelab itu "dari tempat mereka" dalam tempoh tiga tahun.

Ratcliffe, 71, menyelesaikan pembelian 27.7 peratus kepentingan dalam kelab itu, Selasa lalu dengan syarat perjanjian itu akan menyaksikan kawalan operasi bola sepak kepada syarikatnya, INEOS ketika dia berusaha untuk menghidupkan semula kegemilangan United seperti satu ketika dahulu.

City dan Liverpool sudah menjadi kuasa dominan dalam bola sepak Inggeris sejak sedekad lalu, manakala nasib United semakin pudar sejak meraikan persaraan bekas pengurus, Ferguson pada 2013.

Liverpool menduduki tangga teratas Liga Perdana dan boleh menyamai rekod United dengan 20 gelaran liga utama Inggeris pada penghujung musim.

City menjadi juara EPL lima kali daripada enam musim lalu dan musim ini mereka menyasarkan untuk menjadi pasukan Inggeris pertama memenangi empat kejuaraan liga utama berturut-turut.

Ferguson pernah menyifatkan City sebagai "jiran yang bising" semasa awal pemilikan Abu Dhabi yang mengubah nasib kelab itu.

Ratcliffe memberitahu wartawan: "Banyak yang perlu kami pelajari daripada jiran kami yang bising (City) dan jiran lain (Liverpool). Pada akhirnya mereka adalah musuh.

JIM Ratcliffe. FOTO AGENSI
JIM Ratcliffe. FOTO AGENSI

"Tiada perkara yang lebih baik saya mahu lihat iaitu menjatuhkan kedua-dua kelab itu dari tempat mereka sekarang.

"Mereka sudah berada di kedudukan terbaik dan ada perkara yang boleh kami pelajari daripada kedua-dua kelab itu.

"Mereka mempunyai organisasi yang baik, individu yang hebat dalam organisasi, persekitaran yang baik selain suasana yang positif.

"Saya sangat menghormati mereka tetapi mereka masih musuh."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 9:25 AM