Aizat Sharif


Kangar: Selepas membantu kelabnya, Uthai Thani FC mendapat tempat ketiga dalam saingan Liga 2 Thailand sekali gus layak ke Liga 1 Thailand musim hadapan, bekas penyerang skuad kebangsaan bawah 19 tahun, Muhammad Zafuan Azeman kembali ke tanah air dengan menyertai kelab, Perlis United FC (PUFC) dalam saingan Liga M3 Malaysia musim ini.

Anak kelahiran Kangar berusia 23 tahun itu yang pernah bermain bersama Anthong FC dalam saingan Liga 3 Thailand pada musim 2019 dan 2020 selain Perlis, Kedah, Pulau Pinang, PKNP FC dan Kelantan United dalam saingan liga tempatan menyifatkan penyertaannya ke PUFC sebagai satu kepulangan yang dinantikan olehnya dalam usahanya untuk mendapatkan tempat di kesebelasan utama dalam saingan Liga M3 musim ini.

"Misi saya adalah untuk membantu Perlis United berada di kedudukan sekurang-kurangnya tiga pasukan terbaik dalam Liga M3 selain mencari minit permainan yang sukar untuk saya perolehi sebelum ini.

"Saya masih muda dan saya anggapkan selama dua tahun kebelakangan ini, saya banyak 'membuang masa' apabila dibayangi kecederaan, masalah dalaman pasukan serta kesukaran untuk menembusi kesebelasan utama jadi motivasi ini yang membuatkan saya untuk menjadi lebih berdaya saing terutama dalam merebut kesebelasan utama dalam pasukan Perlis United," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas diperkenalkan kepada media dalam Majlis Menandatangani Kontrak Pemain Pada Jendela Perpindahan Kedua 2023 di Bilik Mesyuarat Majlis Sukan Negeri (MSN) Perlis, di sini semalam.

Turut hadir dalam majlis berkenaan adalah Presiden PUFC, Shukri Othman, Pengurus PUFC, Ku Hasnol Farid Ku Abdul Rahman dan jurulatih PUFC, Azhar Abdul Rahman.

Katanya, dengan usianya yang masih muda lagi masih lagi banyak masa untuknya mengembalikan semula momentum dan tempo persembahan yang pernah dipamerkannya bersama beberapa kelab sebelum ini.

"Tidak kiralah pasukan dari Liga Super Malaysia atau Liga 1 Thailand, sudah tentu penyerang setiap kelab yang ada ini pastinya adalah tenaga import luar negara menyebabkan saya akan menjadi pilihan kedua dan di sini ia akan mengurangkan lagi minit permainan saya.

"Oleh itu, Liga M3 tiada tenaga import jadi sudah tentu saya mahu berbakti kepada kelab negeri kelahiran saya sendiri dana saya kini berasa seperti bermula semula dengan Perlis United ini kerana kelab ini adalah platform terbaik untuk saya mendapat semula persembahan terbaik yang pernah saya tampilkan sebelum ini," katanya.

ZAFUAN (dua kanan) diberikan penghormatan untuk menyarung jersi nombor 10. FOTO AIZAT SHARIF
ZAFUAN (dua kanan) diberikan penghormatan untuk menyarung jersi nombor 10. FOTO AIZAT SHARIF

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Jun 2023 @ 4:36 PM