PEMAIN import KDA FC dari Jordan, Mahmoud Al-Mardi menjaringkan dua gol ketika menang 3-1 ke atas Sarawak United FC di Stadium Darul Aman, malam tadi. FOTO FB KDA FC
PEMAIN import KDA FC dari Jordan, Mahmoud Al-Mardi menjaringkan dua gol ketika menang 3-1 ke atas Sarawak United FC di Stadium Darul Aman, malam tadi. FOTO FB KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar: Dua gol sumbangannya yang membolehkan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menewaskan Sarawak United, 3-1, malam tadi, menyuntik semangat pemain import dari Jordan, Mahmoud Al-Mardi pada baki saingan Liga Malaysia musim ini.

Al-Mardi yang cepat menyerap corak permainan Sang Kenari sejak menyertai pasukan pada jendela perpindahan kedua, bulan lalu, kini menjadi jeneral di tengah padang yang dicari pasukan itu bagi mencipta serangan lebih bertenaga.

Antara gol menarik perhatian adalah gol ketiga melalui jaringan jarak jauh yang deras serta tepat ke gawang, sekali gus mengelirukan penjaga gol Sarawak United FC, Tauffiq Ar Rashid.

"Dua gol dalam perlawanan ini memberi motivasi penting buat saya apabila kali pertama bermain di depan penyokong sendiri.

"Gol seperti itu pernah saya hasilkan ketika beraksi dalam liga di Bahrain tahun lalu. Alhamdulillah, ia dhasilkan daripada Tuhan, bukan daripada saya.

"Saya berharap dapat terus menjaringkan gol dan membantu pasukan memburu kemenangan serta berterima kasih kepada semua rakan sepasukan yang membantu saya dalam menghasilkan dua jaringan itu.

"Paling penting adalah kemenangan pasukan dan memuaskan hati penyokong yang tidak jemu datang ke stadium," katanya pada sidang media selepas tamat perlawana, malam tadi.

Pemain berasal dari Aqaba, Jordan, berusia 28 tahun itu berkata, sebagai pendatang baharu dalam Liga Malaysia, dia masih memerlukan masa dalam proses memantapkan lagi prestasi permainan bersama KDA FC.

Sejak menyertai Kedah ketika aksi Piala AFC bulan lalu, Al-Mardi membuktikan bisanya apabila menjaringkan empat gol sepanjang kejohanan itu termasuk hatrik ketika menewaskan Visakha FC, sekali gus KDA FC layak ke aksi separuh akhir Zon Asean untuk bertemu PSM Makassar pada Ogos depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Julai 2022 @ 3:25 PM