HOWE (kanan) berharap Almiron dapat beraksi semula menentang Villa, awal pagi Rabu ini. FOTO REUTERS
HOWE (kanan) berharap Almiron dapat beraksi semula menentang Villa, awal pagi Rabu ini. FOTO REUTERS
Reuters

London: Pengurus Newcastle United, Eddie Howe berharap beberapa pemain utama termasuk pemain tengah menyerang, Miguel Almiron akan kembali dalam pasukan apabila berkunjung ke Aston Villa, awal pagi Rabu ini.

Ia bagi memastikan rentetan empat kekalahan berturut-turut dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) berakhir.

Pemain antarabangsa Paraguay itu yang bermula dalam 18 perlawanan liga musim ini tidak bermain sejak dua minggu lalu kerana kurang sihat.

Bagaimanapun, Howe berkata, bek tengah, Jamaal Lascelles mungkin terlepas aksi itu kerana cedera betis.

"Kami harap Miggy (Almiron) akan bersama pasukan. Saya tidak pasti mengenai Jamaal.

"Kecederaannya tidak serius, tetapi saya fikir dia mungkin tersisih perlawanan itu, hampir pasti," kata Howe.

Newcastle kehilangan ramai pemain utama akibat kecederaan menyebabkan mereka tumpas enam daripada tujuh aksi terakhir liga, tetapi Howe berharap beberapa main akan kembali semula pada minggu akan datang.

"Harvey (Barnes) paling hampir, begitu juga dengan Callum (Wilson). Kemudian, selepas itu Joe (Willock) dan Elliot (Anderson)," kata Howe.

Newcastle membelasah Villa 5-1 di St James' Park pada Ogos, tetapi tidak mampu mengekalkan momentum dan kini menduduki tempat ke-10 dengan 29 mata manakala Villa di tempat keempat dengan 14 mata di atas mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 January 2024 @ 9:42 PM