GORDON menyumbat gol kemenangan Newcastle. -FOTO Reuters
GORDON menyumbat gol kemenangan Newcastle. -FOTO Reuters
AFP

Newcastle, United Kingdom: Biarpun berdepan dengan krisis kecederaan Newcastle berjaya menumpaskan Manchester United 1-0 hasil jaringan yang diledakkan oleh Anthony Gordon pada separuh masa kedua.

Kemenangan itu membolehkan anak buah Eddie Howe memintas United di tangga kelima dalam carta Liga Perdana dengan pasukan tuan rumah dilihat menguasai perlawanan dan sepatutnya meraih lebih banyak gol.

Gordon menyempurnakan hantaran lintang Kieran Trippier pada minit ke-55, namun tiga mata dikutip dibayangi dengan kecederaan penjaga gol, Nick Pope yang menyertai senarai kecederaan Newcastle.

The Magpies turun tanpa 11 pemain pasukan utama namun menguasai perlawanan untuk tempoh sejam pertama menentang United yang masih belum mencatatkan kemenangan menentang pasukan dalam kelompok sembilan teratas carta Liga Perdana musim ini.

"Kami sedar situasi kami tetapi pemain bertindak balas dengan baik," kata Howe.

"Saya sangat gembira dengan apa yang di pamerkan pemain malam ini dan saya fikir kami memberikan persembahan yang sangat bagus. Tahap, watak dan usaha untuk berada pada tahap tertinggi."

Andre Onana menjadi tumpuan selepas dua kesilapannya menjadi punca anak buah Erik ten Hag diikat 3-3 oleh Galatasaray dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah.

Namun penjaga gol Cameroon itu menafikan percubaan Miguel Almiron di awal permainan.

Kecederaan memaksa Howe menurunkan kesebelasan utama yang sama buat kali ketiga berturut-turut dengan pemain 17 tahun, Lewis Miley bermula di barisan tengah.

"Keputusan menjadi lebih memuaskan apabila dilakukan oleh pasukan yang sama. Bukan saja pemain-pemain utama cedera yang beraksi juga lebam dan luka-luka saya sendiri terhincut-hincut.

"Ia sangat memuaskan kerana kami sedar betapa kami membantu satu sama lain, jadi kemenangan hari ini sangat besar sekali," kata Gordon.

United cuba bangkit di akhir permainan dan berjaya menjaringkan gol dalam masa kecederaan, tetapi Harry Maguire dikesan berada dalam kedudukan ofsaid ketika percubaan Antony terkenanya dan masuk ke gawang Newcastle.

Newcastle kini merapatkan jurang dengan kelompok empat teratas kepada hanya dua mata.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2023 @ 8:10 AM