BARISAN pemain Newcastle mempamerkan peningkatan prestasi sejak kebelakangan ini. FOTO AFP
BARISAN pemain Newcastle mempamerkan peningkatan prestasi sejak kebelakangan ini. FOTO AFP
AFP

London: Pengurus Newcastle Eddie Howe berkata mara ke separuh akhir 'tidak mencukupi' ketika barisan pemainnya sedang melakukan persiapan untuk pertemuan Piala Liga dengan Southampton, Rabu ini.

The Magpies mara ke separuh akhir Piala Liga kali pertama selepas 47 tahun dengan menewaskan Leicester awal bulan ini untuk mengatur pertembungan menentang Saints, yang menyingkirkan Manchester City.

Newcastle tidak memenangi sebarang kejuaraan domestik selama 68 tahun dan Howe tidak mahu gagal untuk melangkah ke pentas final di Wembley bulan depan.

"Kami gembira berada di kedudukan sekarang tetapi separuh akhir masih belum mencukupi. Saya rasa ia juga tidak mencukupi untuk barisan pemain lain.

"Sudah pasti anda mahu melangkah satu lagi langkah ke hadapan. Saya tahu pemain juga merasai perkara yang sama.

"Saya dan pasukan kejurulatihan cukup bersemangat bahawa kami mahu mara ke final, tetapi kami perlu mengharungi aksi separuh akhir dahulu yang sememangnya sukar," katanya.

Newcastle mencapai kemajuan besar sejak konsortium Arab Saudi membeli kelab itu pada Oktober 2021 apabila kini menduduki tangga ketiga Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan hanya satu kekalahan setakat ini.

"Kami perlu kekal fokus kepada tugas kami. Tugas itu adalah beraksi sebaik mungkin di Southampton," kata Howe.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 January 2023 @ 9:12 PM