Pemain Newcastle United, Kieran Trippier (kanan) meraikan jaringannya berdepan Aston Villa. FOTO Reuters
Pemain Newcastle United, Kieran Trippier (kanan) meraikan jaringannya berdepan Aston Villa. FOTO Reuters
Reuters

Newcastle, England: Sepakan percuma Kieran Trippier memastikan kemenangan 1-0 Newcastle United di laman sendiri ke atas Aston Villa dalam saingan Liga Perdana untuk meneruskan persaingan di bawah kendalian Eddie Howe.

Kemenangan membolehkan Newcastle berada di kedudukan ke-17 hanya empat mata daripada zon penyingkiran dan kini mengumpul 21 mata daripada 23 perlawanan. Villa pula enam mata mendahului lawan di kedudukan ke-11.

Newcastle memperoleh penalti yang dinafikan oleh VAR pada minit ke-33 apabila kekasaran dilakukan Calum Chambers kepada Joe Willock diberikan di luar kotak penalti, namun Trippier menyempurnakan sepakan percuma itu dengan menembusi benteng Villa untuk memberikan gol pendahuluan.

Pemain pertahanan kanan yang turut menjaringkan gol menerusi sepakan percuma ketika berdepan Everton minggu lalu, bernasib baik kerana rembatannya terbias kepada Emiliano Buendia sebelum melepasi jangkaan Emiliano Martinez.

Jaringan itu adalah sumbangan cukup bermakna buat Trippier ketika pemain kebangsaan England itu terpaksa memberi laluan kepada Emil Krafth pada minit ke-48 berikutan mengalami kecederaan kaki.

Howe memberitahu pemberita pemain berusia 31 tahun itu terpaksa ke hospital untuk menjalani imbasan.

Villa memberi tekanan pada pada babak kedua dan Ollie Watkins berjaya menjaringkan gol menerusi tandukan sebelum jaringan dibatalkan selepas penelitian menerusi VAR mendapati dia berada dalam kedudukan ofsaid.

Kedua-dua pasukan tidak mempunyai banyak peluang terbaik selepas itu ketika Newcastle terus memperkemaskan pertahanan pasukan untuk memastikan kemenangan ketiga berturut-turut dalam saingan liga.

"Tiga mata lagi memberi kelegaan buat kami. Namun dalam detik baik seperti ini kami tidak boleh terlalu tenang tetapi amat bangga," kata Howe.

"Kami tidak memberi banyak ruang pada Aston Villa. Ia perlawanan yang sengit dan dalam tempoh seminggu kami sekali lagi memenangi perlawanan. Bagaimanapun perjalanan kami masih jauh."

Pengendali Villa, Steven Gerrard pula menyalahkan persembahan buruk pemainnya.

"Kami terlalu baik ketika berdepan lawan pada separuh masa dan kami kurang memberi maklum balas tetapi saya tidak mempunyai sebarang bantahan dengan keputusan ini. Saya percaya anda mampu mengubah nasib sendiri di tempat lawan dan hampir melakukannya hari ini," kata Gerrard.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Februari 2022 @ 8:48 AM