POPE dilayangkan merah oleh pengadil perlawanan. FOTO EPA
POPE dilayangkan merah oleh pengadil perlawanan. FOTO EPA
Reuters

Newcastle: Newcastle United berdepan dilema menurunkan penjaga gol menjelang perlawanan akhir Piala Liga minggu depan menentang Manchester United dalam usaha mereka untuk merangkul trofi pertama sejak 1955.

Kad merah yang dilayangkan kepada penjaga gol pilihan utama Nick Pope ketika tewas kepada Liverpool 0-2 di tempat sendiri bermakna pemain antarabangsa England itu tidak akan dapat diturunkan.

Martin Dubravka calon pilihan untuk menggantikan tempatnya juga tidak dapat diturunkan.

Ini bermakna pengendalinya Eddie Howe hanya mempunyai pilihan Loris Karius yang tidak pernah membuat sebarang penampilan bersama Newcastle dan penjaga gol Mark Gillespie.

"Ia situasi yang kejam buat Nick kerana dia hebat untuk kami dan terlepas perlawanan seterusnya adalah satu tamparan hebat baginya," kata Howe.

"Kami ada pilihan untuk dibuat. Mark Gillespie berlatih dengan sangat baik musim ini seperti juga Loris. Mereka memulakan permainan aksi kompetitif dalam beberapa perlawanan persahabatan dan latihan. Saya akan katakan mereka sudah bersedia.

"Saya mempunyai keyakinan terhadap mereka, itulah tujuan mereka dalam skuad. Mereka berdua sangat berdaya saing dan sebahagian daripada kumpulan kami sepanjang musim. Saya mempunyai keyakinan penuh."

Pemain Jerman Karius menghabiskan tempoh yang lama bersama Liverpool sebelum ini dan aksi yang paling diingati adalah dua kesilapan yang dilakukannya ketika perlawanan akhir Liga Juara-Juara 2018 menentang Real Madrid.

Dia selepas itu dipinjamkan dan akhirnya meninggalkan kelab itu tahun lalu.

Newcastle berjaya meraih satu kemenangan dalam tujuh perlawanan liga terakhir mereka tetapi Howe berkata mereka bersedia untuk menukar keadaan itu menjelang kunjungan ke Wembley.

"Kami perlu melupakan segalanya dengan cepat dan menantikan minggu yang menarik untuk kami," kata Howe.

Pope dibuang padang pada minit ke-22 kerana memegang bola di luar kawasannya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Februari 2023 @ 10:06 AM