SAFAWI ketika sidang media menjelang perlawanan bertemu Korea Selatan. FOTO Hairul Anuar Rahim
SAFAWI ketika sidang media menjelang perlawanan bertemu Korea Selatan. FOTO Hairul Anuar Rahim
Firdaus Hashim melaporkan dari Doha dan Qatar


"DIA pun manusia biasa, saya berasa kelebihan kita sebab kita bertahan dan dia menyerang." Itu kata pemain skuad Harimau Malaya, Safawi Rasid yang percaya pergerakan bintang Korea Selatan, Son Heung-min mampu 'digari' apabila Malaysia turun menentang skuad Taegeuk Warriors di Stadium Al Janoub, Khamis ini.

Safawi yang pernah 'bertarung' tenaga dengan Heung-min dalam temasya Sukan Asia 2018 di Indonesia lalu berkata, rakan sepasukannya sudah bersedia untuk menyekat gerakan penyerang Tottenham Hotspur itu.

"Semua orang tahu Son (Heung-min) adalah pemain terbaik. Saya sebenarnya suka bercakap dengan rakan sepasukan sebab saya tahu kalau satu lawan satu mungkin dia (Heung Min) boleh (lepas), tetapi kalau dua lawan satu atau tiga lawan satu mungkin dia boleh (dikekang).

"Dia pun manusia biasa, saya berasa kelebihan kita sebab kita bertahan dan dia menyerang. Saya percaya dengan rakan sepasukan dan barisan jurulatih," katanya ketika ditemui di hotel penginapan pasukan di sini, hari ini.

Pada temasya Sukan Asia 2018 lalu, skuad bawah 23 (B-23) tahun negara waktu itu mengejutkan Korea Selatan yang diketuai Heung-min dengan meraih kemenangan 2-1.

Dalam aksi itu, Safawi sendiri meledak dua gol ke atas jaguh Asia itu sekali gus membantu pasukan melangkah ke pusingan kedua sebelum tumbang 0-1 di tangan Jepun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2024 @ 9:57 PM