REAKSI kecewa Heung-min selepas tewas kepada Jordan ketika di Piala Asia. FOTO BERNAMA
REAKSI kecewa Heung-min selepas tewas kepada Jordan ketika di Piala Asia. FOTO BERNAMA
Agensi

London: Son Heung-min dilaporkan terseliuh jari selepas bertengkar dengan rakan sepasukan sebelum Korea Selatan tersingkir secara mengejut dari saingan Piala Asia.

Pertelingkahan berlaku antara Heung-min dan rakan sepasukan ketika mereka sedang makan pada malam sebelum perlawanan separuh akhir menentang Jordan, yang mana mereka tewas 0-2 pada 6 Februari lalu.

Anggota skuad itu dilaporkan tergesa-gesa menghabiskan makanan mereka kerana mahu bermain pingpong.

Bagaimanapun, Heung-min yang juga kapten pasukan, berang dengan tindakan mereka meninggalkan sesi makan malam yang biasa dimanfaatkan untuk menguatkan semangat berpasukan.

Antara pemain muda yang cuba dinasihati Heung-min adalah bintang Paris Saint-Germain (PSG), Lee Kang-in, 22.

Perang mulut yang berlaku menyebabkan Heung-min yang juga bintang Tottenham mengalami terseliuh jari.

Sumber The Sun berkata: "Beberapa pemain muda makan dengan cepat dan meninggalkan seluruh skuad untuk bermain pingpong.

"Heung-min meminta mereka untuk kembali dan duduk tetapi nasihatnya itu tidak didengari. Dalam beberapa saat, berlaku kekecohan di dewan makan.

"Heung-min mengalami kecederaan ketika cuba memenangkan keadaan."

Son masih bermain ketika tewas 0-2 kepada Jordan dengan memakai pembalut di jari tengah di tangan kanannya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2024 @ 10:05 AM