CONTE berkenan dengan peribadi Heung-min.
CONTE berkenan dengan peribadi Heung-min.
Agensi

London: Penyerang Tottenham Hotspur, Son Heung-min masih belum menjaringkan gol walaupun skuad kendalian Antonio Conte itu bermula cemerlang pada musim baharu Liga Perdana Inggeris (EPL).

Namun Conte bukan sahaja mempertahankan bintang Korea Selatan itu malah mengakui sedia menjadikan Hueng-min menantunya.

Ketika menang 2-0 ke atas Nottingham Forest, Heung-min gagal menjaringkan gol dan hanya mencipta satu bantuan jaringan

Bagaimanapun, Conte tidak terlalu bimbang dan yakin dia akan temui kembali sentuhan jaringan. Malah pengendali dari Itali turut memuji karakter penyerangnya itu dengan menganggap Heung-min adalah lelaki yang sesuai dengan anak perempuannya.

"Sonny pemain budiman dan benar-benar lelaki yang baik," katanya. "Jika saya mahu mencari suami untuk anak perempuan saya, saya mahukan lelaki sepertinya!

"Ketika ini dia tidak bernasib baik apabila tidak dapat menjaringkan gol. Tetapi dia pasti tidak akan mengalah dan perlu percaya diri sendiri kerana dalam setiap perlawanan dia mempunyai peluang menjaringkan gol.

"Dia perlu tenang dan kami percayakan dia dan rakan sepasukan. Anda tahukan betapa penting dia dan Harry Kane kepada kami. Bagi saya Sonny akan selalu dalam perancangan bola sepak saya."

Tottenham akan menentang West Ham dalam aksi 'London derby' di tempat lawan pada awal pagi Khamis ini dan Heung-min berpeluang menamatkan kemarau jaringannya sekaligus menambat hati Conte 'untuk menjadi menantunya'.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2022 @ 10:49 AM