MERZAGUA dilantik Pengarah Teknikal Penang FC. FOTO Penang FC
MERZAGUA dilantik Pengarah Teknikal Penang FC. FOTO Penang FC
Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Penang FC (PFC) menepati ramalan apabila mengembalikan legenda import negeri, Merzagua Abderrazak dalam barisan kejurulatihan pasukan sebagai Pengarah Teknikal baharu pasukan berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Bekas pemain dan jurulatih berasal dari Maghribi berusia 57 tahun yang digelar 'Great Merz' oleh penyokong Harimau Kumbang itu pernah dinobatkan sebagai Pemain Import Terbaik selama tiga musim berturut-turut pada Anugerah Bola Sepak Negara dari 1996 hingga 1998.

Merzagua menyifatkan tanggungjawab yang digalas mempunyai tahap cabaran tersendiri namun beliau optimis dan bersedia mencurahkan segala pengalaman yang dimiliki untuk menempatkan PFC pada kedudukan lebih baik.

"Ini kali ketiga saya di Pulau Pinang. Kali pertama sebagai pemain kali kedua sebagai jurulatih dan sekarang sebagai Pengarah Teknikal. Setiap kali saya datang ke sini cabaran ditempuh berbeza-beza.

"Kali pertama saya datang sebagai pemain (pada 1996) semua orang tahu, saya bermula dengan sifar kemudian kami menjadi pasukan terbaik di Malaysia.

"Kali kedua, saya juga menghadapi cabaran dalam Liga FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) untuk masa yang lama sebelum berjaya menjadi juara sehingga akhirnya dinaikkan pangkat ke Liga Perdana.

"Jadi kali ketiga ini saya akui bakal menjadi cabaran baharu buat saya," katanya kepada pemberita pada sesi 'Townhall' bersama penyokong PFC di sini malam tadi.

Merzagua berkata, beliau menganggap Malaysia sebagai rumah keduanya dan tiada paling bermakna selain menyumbang kejayaan skuad Harimau Kumbang yang begitu akrab dengan dirinya sejak sekian lama.

Justeru, beliau berbesar hati diberi peluang berkhidmat sekali lagi bersama pasukan yang pernah melonjakkan namanya dan menegaskan tiada mustahil dalam mencorak perubahan buat PPFC musim ini.

"Saya bercakap berdasarkan pengalaman. Kita perlu identiti kita. Gaya permainan, semangat juang mestilah sesuatu yang istimewa untuk Pulau Pinang kerana itu saya memilih berada di sini.

"Saya akan melakukan yang terbaik, sudah tentu kita tidak bersendirian kerana ada pihak pengurusan, pasukan dan anda semua (penyokong) bersama-sama.

"Jadi saya pasti dan percaya kita boleh melakukannya. Anda harus percaya kepada kami," katanya.

Dalam pada itu PFC mengekalkan khidmat Akmal Rizal Ahmad Rakhli sebagai ketua jurulatih dan melantik penolong jurulatih, Manzoor Azwira sebagai pengendali skuad Liga Simpanan PFC.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2024 @ 5:31 PM