AB Ghani (kanan) bersama Tunku Ismail (tengah) dan Hannah pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Pengelolaan Liga Malaysia dan Taklimat Pengurusan Stadium dan Venue Liga Malaysia Musim 2024/2025, hari ini. FOTO BERNAMA
AB Ghani (kanan) bersama Tunku Ismail (tengah) dan Hannah pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Pengelolaan Liga Malaysia dan Taklimat Pengurusan Stadium dan Venue Liga Malaysia Musim 2024/2025, hari ini. FOTO BERNAMA
Rizar Mohd Noor


Iskandar Puteri: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menyerahkan keputusan permohonan rayuan Kelantan FC sepenuhnya kepada First Instance Body (FIB) sama ada layak diberikan Lesen Kebangsaan kepada pasukan itu.

Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan mengesahkan pihaknya telah menerima rayuan daripada kelab Pantai Timur itu beberapa hari sebelum tamat tempoh rayuan yang berakhir semalam.

"Kita telah menerima dokumen daripada skuad The Red Warriors (TRW) bagi memperoleh lesen itu bagi membolehkan mereka terus kekal beraksi di Liga Super musim depan.

"Bagaimanapun, keputusan itu kita serahkan kepada FIB untuk membuat penilaian secara terperinci sebelum membuat keputusan," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Pengelolaan Liga Malaysia dan Taklimat Pengurusan Stadium dan Venue Liga Malaysia Musim 2024-2025, di sini, hari ini.

Pemilik Kelab Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut berkenan berangkat ke mesyuarat yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Sebelum ini, pemilik TRW, Norizam Tukiman dilaporkan terkejut dengan keputusan FIB yang tidak memberikan Lesen Kebangsaan kepada Kelantan FC, sedangkan pihaknya sudah menyerahkan segala dokumen diperlukan.

Ia termasuk sudah menghantar dokumen penyelesaian membabitkan lima kes Fifa (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) sebelum tarikh akhir 31 Disember lalu dan keputusan FIB yang diputuskan itu baginya agak terburu-buru.

Sebelum ini, MFL mengesahkan Kelantan FC gagal memperoleh Lesen Kebangsaan, namun diberi peluang untuk membuat rayuan sebelum 8 Januari ini.

Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif dalam kenyataan menjelaskan keputusan itu dibuat kerana TRW didakwa gagal untuk melengkapkan dua kriteria kewangan dibawah sub kriteria F.04 dan F.11.

Beliau berkata, ia membabitkan tunggakan gaji, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sebelum tarikh akhir yang ditetapkan iaitu 30 November 2023 dan 31 Disember 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2024 @ 7:52 PM