Shakir Hamzah dikaitkan dengan penghijrahannya ke Negeri Sembilan. FOTO ASWADI ALIAS
Shakir Hamzah dikaitkan dengan penghijrahannya ke Negeri Sembilan. FOTO ASWADI ALIAS
Mohd Amin Jalil


Seremban: Meskipun pelbagai desas desus berlegar dalam kalangan penyokong bola sepak Negeri Sembilan mengenai pemain pertahanan Singapura, Shakir Hamzah yang dikatakan bakal menyertai Kelab Bolasepak Negeri Sembilan (NSFC), namun sehingga kini belum ada pengesahan daripada kelab terbabit.

Kelab berkenaan juga setakat ini belum membuat sebarang pengumuman berkaitan Shakir atau perubahan yang bakal dilakukan dalam pembentukan pasukan baharu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/2025 yang dijadual akan membuka tirainya, 3 Mei depan.

Malah, kalangan sebahagian besar pemain yang beraksi dengan skuad Hobin Jang Hobin bagi musim lalu juga dikatakan sedang menunggu penuh debar mengenai kedudukan kontrak masing-masing sama ada dikekalkan atau sebaliknya.

Shakir bukan asing di pentas saingan Liga M kerana pemain pertahanan Home United dan skuad kebangsaan Singapura itu pernah beraksi bersama Kedah Darul Aman FC (KDA FC) selama dua musim antara 2019 hingga 2020 dan kemudian mewakili Perak FC pada tahun berikutnya.

Bekas pemain Tampines Rovers berusia 31 tahun itu meledak lima gol ketika bersama Kedah pada 2019.

Sumber kelab ketika dihubungi memaklumkan perkara itu hanya sekadar khabar angin dalam kalangan peminat pasukan berkenaan dan tiada pengumuman atau pengesahan daripada pihak NSFC.

"Tiada apa-apa lagi, itu hanya sekadar 'rumous' (khabar angin) dari kalangan peminat," kata sumber itu, hari ini.

Musim lalu, Negeri Sembilan mempertaruhkan lima pemain import iaitu Herold Guolon (pertahanan), Casagrande dan Vinicius Leonel (penyerang), Safuwan Baharudin dan Levy Madinda (tengah).

Bagaimanapun, perubahan berlaku dalam pasukan itu pada sesi perpindahan kedua Liga M apabila hanya Guolon dan Casagrande kekal manakala dua pemain import baharu dibawa masuk iaitu Youssef Ezzejjari dan Hein Thet Aung, yang dipinjam daripada Selangor FC.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2024 @ 9:57 PM