Annas Rahmat. FOTO Ihsan PBNS
Annas Rahmat. FOTO Ihsan PBNS
Mohd Amin Jalil


Seremban: Pemain tengah berpengalaman, Annas Rahmat yakin dengan barisan pemain yang menganggotai pasukan Negeri Sembilan (NS), mampu meletakkan pasukan itu lebih menyerlah dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Malah, pemain berusia 26 tahun itu juga optimis skuad Hobin Jang Hobin berupaya untuk memberikan saingan dan cabaran lebih bermakna pada saingan yang dijadualkan akan membuka tirainya 27 Februari ini.

"Saya yakin dengan perubahan yang dibuat Kelab Bola Sepak Negeri Sembilan (NSFC) kali ini apabila berjaya mendapatkan khidmat ramai pemain muda dan berpengalaman yang sebelum ini beraksi bersama pasukan Liga Super.

"Sebahagian besar pemain sudah membuktikan kemampuan masing-masing dengan pasukan yang mereka sertai sebelum ini.

"Justeru, kewibawaan mereka itu bakal meletakkan skuad Negeri Sembilan lebih berwibawa untuk berdepan cabaran sekali gus berupaya membantu mencapai sasaran yang ditetapkan," katanya.

Annas yang beraksi bersama Melaka United (MU) musim lalu, antara pemain muda yang berjaya dilahirkan oleh Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) dan dia mula mendapat pendedahan selepas menyertai skuad Piala Presiden negeri itu.

Bekas pemain skuad Harimau Muda B itu pernah bersama Negeri Sembilan dari 2016 hingga 2017 sebelum berpindah menyertai PKNS FC pada 2018 dan kemudiannya meneruskan kariernya dengan menyertai Petaling Jaya (PJ) City FC pada 2019.

Dia berazam untuk menggunakan pengalaman yang diperoleh di bawah bimbingan Zainal Abidin Hassan bagi memberi sumbangan terbaik kepada skuad bimbingan K Devan itu.

"Matlamat saya kali ini ingin memberikan sumbangan yang lebih baik kepada Negeri Sembilan dan akan membantu memastikan sasaran layak ke Liga Super seperti mana yang ditetapkan itu dapat dicapai," kata Annas yang pernah diberikan tugas menggalas tanggungjawab selaku penolong kapten Negeri Sembilan sebelum ini.

NSFC dilihat serius untuk meletakkan kembali Negeri Sembilan sebagai pencabar terkuat dalam saingan Liga Perdana apabila melakukan perubahan besar dalam pembentukan pasukan itu apabila mengenepikan kira-kira 85 peratus pemain musim lalu.

Sebelum ini, mereka telah mengikat beberapa pemain baharu, antaranya pertahanan dari Selangor 2, Raja Imran Shah Raja Amin, tiga bekas pemain PJ City FC iaitu adik beradik R Barathkumar (penyerang) dan R Aroon Kumar (pertahanan) serta Damien Lim (penjaga gol).

Turut di sambar NSFC ialah bekas Melaka United (MU), Saiful Ridzuwan Selamat (pemain tengah) dan Muhammad Ferris Danial Mat Nasir (penyerang), selain itu, tiga bekas pemain Felda United iaitu Ahmad Tasnim Fitri Mohd Nasir dan Osman Yusoff yang kedua-dua mereka pemain pertahanan serta Mohd Muhaimin Mohamad (penjaga gol), selain pemain pertahanan Terengganu FC, Nasrullah Haniff Johan antara yang turut bersama NSFC, musim 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 January 2021 @ 9:34 PM