Bekas pemain Sri Pahang, Herold Goulon tonggak import baharu Negeri Sembilan
Bekas pemain Sri Pahang, Herold Goulon tonggak import baharu Negeri Sembilan
Mohd Amin Jalil


Seremban: Negeri Sembilan FC (NSFC) yang tampil dengan berwajah baharu bagi mengharungi cabaran saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2022, sudah mengikat dua pemain import, setakat ini.

Pengurus Besar NSFC, Firdaus Bhari berkata, dua pemain terbabit ialah bekas pemain Sri Pahang FC, Herold Goulon, 33, dari Perancis dan seorang lagi, muka baharu di pentas saingan Liga M iaitu David Gordon Mawutur, 29, dari Ghana.

Katanya, kedua-dua pemain terbabit sudah menandatangani kontrak semusim bersama Negeri Sembilan.

"Negeri Sembilan akan menggunakan khidmat lima pemain import seperti mana yang diperuntukkan dan tiga lagi pemain itu sedang diteliti pihak barisan kejurulatihan pasukan.

"Kita yakin dapat melengkapkan senarai semua pemain menjelang Februari depan. Setakat ini senarai pemain tempatan sudah lengkap," katanya.

Mengulas lanjut mengenai kedua-dua pemain terbabit, Firdaus berkata kehadiran Guolon bakal menambah kekebalan benteng pertahanan skuad Hobin Jang Hobin.

Menurutnya, pemain yang beraksi dua musim sejak 2019 bersama Sri Pahang itu memiliki ketinggian 1.95 meter dan beraksi sebanyak 47 penampilan selain boleh beraksi di bahagian tengah.

"Guolon pernah mewakili kelab terkenal Middlesbrough dan Blackburn Rovers ketika di awal permulaan kariernya dan pengalamannya bersama Sri Pahang dijangka akan dapat membantu memudahkan perancangan pasukan membentuk skuad mantap bagi menghadapi cabaran Liga Super.

"Malah, dia juga terbukti tajam di barisan hadapan gol apabila meledak 11 gol dalam liga untuk Sri Pahang selain pernah menjaringkan menerusi sepakan bola mati," katanya.

Menurut Firdaus, mengenai David Mawutur pula, dia adalah pemain baharu di pentas Liga M dan akan beraksi di bahagian tengah.

"Dia yang memiliki ketinggian 1.81 meter pernah mewakili pasukan Istiklol FC dan Wisla Krakow sebelum ini.

"Kami berharap kehadiran mereka dapat memperkuatkan jentera pasukan dan membantu Negeri Sembilan bersaing hebat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 January 2022 @ 5:37 PM