MAMUT (kiri) cuba merampas bola dari kawalan Paull pada perlawanan Piala AFC, malam tadi. FOTO GHAZALI KORI
MAMUT (kiri) cuba merampas bola dari kawalan Paull pada perlawanan Piala AFC, malam tadi. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Penyerang Terengganu FC (TFC), Ivan Mamut menyifatkan kemenangan 1-0 ke atas kelab Australia, Central Coast Mariners pada aksi pertama Kumpulan G saingan Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia), malam tadi, adalah permulaan baik buat pasukannya.

Pemain terbaik perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak itu berkata, dia dimaklumkan juara Liga Australia musim lalu itu adalah pasukan terkuat daripada empat pasukan dalam kumpulan yang turut dihuni wakil Indonesia, Bali United dan kelab Filipina, Stallion Laguna FC.

Justeru pemain tinggi lampai kelahiran Croatia itu meletakkan harapan tinggi agar pasukannya mampu melakar kemenangan ke atas dua lagi pasukan itu, selepas ini.

"begitu gembira dengan kemenangan ini, malah lebih gembira dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan. Ini permulaan yang baik buat pasukan selepas mengutip tiga mata pada aksi pertama.

"Namun kemenangan ini bukan mudah dicapai dan saya difahamkan kelab Australia itu adalah yang terkuat dalam kumpulan kami berdasarkan pencapaian semasa termasuk muncul juara liga mereka, musim lalu.

"Kami bermain dengan baik ada malam ini dan sentiasa bersedia sebagaimana bertemu Selangor FC pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia, minggu lalu.

"Terima kasih kepada rakan sepasukan yang bekerja keras sehingga berjaya mencipta kemenangan walaupun menerusi gol sendiri lawan," katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Pada perlawanan itu, pertahanan pelawat, Nathan Paull 'menghadiahkan' gol kemenangan buat TFC selepas tertampan bola ke gawang sendiri hasil hantaran lintang pemain import tuan rumah, Nurillo Tukhtasinov pada masa kecederaan babak pertama.

Mamut yang sudah menjaringkan 16 gol setakat ini bersama TFC mengakui tidak tertekan dengan tugasan memburu gol, sebaliknya bagaikan tidak sabar untuk menghasilkan jaringan ke-17 musim ini.

"Saya mahu memburu jaringan seterusnya, saya bergerak ke kanan dan kiri untuk mencari peluang menjaringkan gol, namun malam ini tidak bernasib baik untuk menambah bilangan gol.

"Saya tidak akan putus asa, sebaliknya akan terus berusaha terutama berdepan Selangor FC pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia pada Ahad ini, harap ia menjadi kenyataan dan TFC layak ke separuh akhir Piala Malaysia sebagaimana musim lalu," jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2023 @ 3:37 PM