DARREN Lok. FOTO FB FAM
DARREN Lok. FOTO FB FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Penyerang Harimau Malaya, Darren Lok tidak melihat posisinya dalam kesebelasan utama skuad kebangsaan terjejas dengan kehadiran pemain naturalisasi baru Romel Morales.

Hal ini kerana, pemain berusia 32 tahun itu percaya dia mempunyai kekuatan dan kebolehan tersendiri sekali gus boleh dimanfaatkan pasukan bagi membantu meraih keputusan positif di kejohanan Piala Asia bulan depan.

Darren berkata, perkara penting ketika ini adalah mempamerkan aksi terbaik ketika sesi latihan dalam usaha memikat barisan kejurulatihan yang diterajui Kim Pan-gon.

"Pan-gon sudah pastinya mengetahui kualiti yang dimiliki saya terutamanya apa yang boleh dilakukan kepada pasukan kebangsaan kelak. Saya sentiasa memberikan yang terbaik untuk negara.

"Saya tidak terlalu memikirkan soal persaingan kerana mahu memberi tumpuan untuk memperbaiki lagi kualiti permainan.

"Jika saya berada dalam 11 pemain utama, saya akan memberikan yang terbaik. Jika saya di bangku simpanan turut akan melakukan perkara sama. Apa pun peranan yang diberikan sudah pasti saya akan memberikan segalanya," katanya.

Terdahulu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan Morales antara yang nama yang disenaraikan untuk menyertai kem latihan sebagai persiapan mengharungi kejohanan Piala Asia di Doha, Qatar.

Sementara itu, Darren berkata, kehadiran Morales dan Naxto Insa dalam skuad kebangsaan bakal menguatkan lagi pasukan memandangkan mereka mempunyai kelebihan dan kebolehan yang boleh dimanfaatkan pada perlawanan besar itu.

"Morales dan Insa kedua-duanya pemain hebat. Saya pernah bermain dengan Insa semasa saya di Johor Darul Ta'zim (JDT).

"Pan-gon memanggil mereka kerana beliau yakin mereka akan dapat membantu pasukan kebangsaan. Kehadiran mereka menambah lagi kekuatan pasukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Disember 2023 @ 12:42 PM