TFC mengharapkan sokongan padu penyokong untuk menaikkan semangat mereka.
TFC mengharapkan sokongan padu penyokong untuk menaikkan semangat mereka.
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: "Atas kertas kelebihan tampak berpihak kepada Johor Darul Ta'zim (JDT), namun bola itu bulat, sebarang kemungkinan boleh berlaku," kata Presiden Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu FC, Mohd Isa Che Ariffin.

Beliau berkata demikian bagi menangkis pandangan sesetengah pihak yang mendakwa skuad Penyu sukar menewaskan Harimau Selatan pada aksi final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam ini.

Mengulas lanjut, Mohd Isa menegaskan dalam bola sepak, pelbagai kemungkinan boleh terjadi kerana format permainan sukan itu dilangsungkan secara berkumpulan dan bukannya individu.

"Penggiat sukan popular ini pastinya memilih JDT untuk merangkul kejuaraan, namun sejarah sudah terpahat, KL City FC pernah menumbangkan gergasi Liga Malaysia (Liga M) pada edisi ke-100 dua tahun lalu dengan kemenangan 2-0.

"Malah TFC juga pernah menumpaskan JDT 1-0 pada saingan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 2021 hasil jaringan Mohamad Hakimi Abdullah.

"Jadi dengan sokongan padu ribuan peminat setia TFC, tidak mustahil kemenangan itu berulang lagi sekali gus trofi piala berprestij dalam negara dan tertua di rantau Asia itu sekali lagi kembali ke bumi Terengganu selepas kali terakhir pada 22 tahun lalu," katanya yang meletakkan harapan yang tinggi agar pemain yang diturunkan nanti mampu menggalas tanggungjawab dengan sebaik mungkin.

Berdasarkan rekod, kali pertama dan terakhir Terengganu menjulang trofi itu pada 2001 menerusi kemenangan 2-1 menumpaskan Perak hasil jaringan Rosdi Talib dan Sapian ketika TFC dikendalikan Mat Zan Mat Aris.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2023 @ 2:32 PM