PENYOKONG setia TFC bergembira selepas pasukan mereka layak ke Piala AFC.
PENYOKONG setia TFC bergembira selepas pasukan mereka layak ke Piala AFC.
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu FC tabik terhadap pemain Terengganu FC (TFC) selepas pasukan kesayangan mereka berjaya melangkah ke pentas Asia tahun depan sesudah menamatkan saingan Liga Super di kedudukan kedua musim ini.

Presidennya, Mohd Isa Che Ariffin berkata, kejayaan itu sekali gus menebus kehampaan musim lalu selepas saingan Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) Kumpulan I yang turut dihuni Geylang International FC, Visakha FC dan Lalenok United terpaksa dibatalkan susulan wabak pandemik Covid-19.

Bagaimanapun beliau mengharapkan pihak pengurusan TFC dapat melakukan persediaan lebih awal terutama membabitkan pemilihan jurulatih dan pemain berkualiti termasuk bintang import.

Katanya, persediaan awal penting bagi memastikan skuad Penyu mampu bersaing di pentas Asia itu sebagaimana dibuktikan dua wakil negara iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kuala Lumpur City FC (KL City FC).

"Tahniah buat semua pemain yang berjaya merakam kemenangan menumbangkan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) walaupun bertandang di tempat lawan pada aksi terakhir Liga Super malam tadi.

"Tidak lupa juga buat barisan kejurulatihan yang diketuai Nafuzi Zain dan pihak pengurusan, pencapaian ini begitu membanggakan selepas pasukan terpaksa bergelut dengan jadual perlawanan bermula awal musim.

"Namun kami meletakkan harapan tinggi agar pihak pengurusan dapat melaksanakan tugas dengan baik serta perancangan rapi untuk bersaingan di pentas Asia dan juga liga tempatan yang sudah tentu lebih mencabar," katanya ketika dihubungi.

Malam tadi skuad Penyu melakar kemenangan begitu berharga menumpaskan skuad Kenari 3-1 hasil jaringan Faisal Halim dan dua gol sumbangan kapten, Kipre Tchetche sekali gus mengumpul 44 mata hasil 22 perlawanan di belakang pendahulu, JDT yang mengutip 56 mata.

Skuad itu juga muncul pasukan kedua terbanyak menjaringkan gol bersama Selangor FC dengan 39 jaringan dan pasukan kedua kurang dibolosi dengan hanya melepaskan 20 gol.

Kali terakhir skuad itu beraksi dalam Piala AFC pada 2012 selepas muncul juara Piala FA pada 2011.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Oktober 2022 @ 9:07 PM