BEKAS pemain kebangsaan (jersi kuning) bersama bekas pemain Terengganu selepas aksi persahabatan di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak, kelmarin. FOTO MALIK MUHAMAD.
BEKAS pemain kebangsaan (jersi kuning) bersama bekas pemain Terengganu selepas aksi persahabatan di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak, kelmarin. FOTO MALIK MUHAMAD.
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Peluang Terengganu FC (TFC) menamatkan kemarau 11 tahun merangkul gelaran Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada 10 September depan, tetap cerah walaupun berdepan gergasi Liga Malaysia (Liga M), Johor Darul Ta'zim (JDT).

Namun skuad kendalian Nafuzi Zain itu perlu memiliki keyakinan diri selain tidak terlalu menghormati status pasukan Harimau Selatan itu yang sudah berada pada tahap lebih tinggi kerana beraksi di pentas Asia.

Pandangan itu dikongsi bekas penyerang skuad Olimpik Moscow Rusia 1980, Zulkifli Hamzah, 63, sebelum Malaysia memboikot temasya itu kerana membantah pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan.

Bekas bintang Terengganu bermula 1976 hingga 1980 yang lebih dikenali sebagai 'Harimau Berantai' itu bagaimanapun menegaskan, jika pemain tersilap langkah dan tidak berwaspada dengan taktikal lawan, padah bakal menanti TFC.

"JDT adalah pasukan serba lengkap, tahap mereka sudah tinggi, namun pandangan saya, peluang buat TFC untuk melakar kemenangan pada aksi final tetap cerah dan 50-50, tapi pemain yang diturunkan nanti wajib mempunyai keyakinan diri.

"Selain itu pemain TFC tidak boleh terlalu menghormati status pasukan lawan serta tidak cepat putus asa, sebaliknya beraksi seperti biasa mengikut perancangan jurulatih.

"Saya lihat sejak kebelakangan ini corak permainan TFC kembali bertenaga dan nampak lebih berkeyakinan, momentum ini perlu dikekalkan sehingga akhir musim dan paling penting aksi final nanti, saya percaya jika elemen itu ada dan digunakan sebaik mungkin, mereka boleh menamatkan kemarau 11 tahun lalu untuk merangkul kejuaraan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perlawanan persahabatan antara bekas pemain Terengganu menentang veteran skuad kebangsaan di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di Gong Badak, kelmarin, yang dikelolakan Ketua Pegawai Eksekutif AV Sports Management, Muhammad Arif Ikmal Azmi.

Dalam perlawanan itu, skuad veteran Terengganu yang membariskan pemain terkenal, Nasaruddin Yasin, Othman Mat Khiar, Hasnan Ahmad, Mat Sedek Wahab dan Badrulhisham Abdullah merakam kemenangan 3-1 menumpaskan skuad veteran kebangsaan yang dibarisi penjaga gol, Rahim Mohamad, Ganeson, Mohd Zakaria, Dzulkifli Ali, K Ravichandran, Padmasivam dan Harjat Singh.

Sementara itu Rahim, 66, berkata, momentum kemenangan diraih TFC sejak akhir-akhir ini bakal menjadi pemangkin buat skuad itu untuk meraih kemenangan.

"Momentum TFC semakin meningkat, tapi pesanan kepada TFC usah terlalu menghormati JDT, mentaliti perlu kuat sebelum dan ketika berjuang.

"Jangan cepat mengaku kalah, bola itu bulat, paling penting perlu konsisten sepanjang perlawanan sebab selangkah lagi untuk buru trofi," kata bekas penjaga gol Pulau Pinang dan skuad Olimpik negara 1972 di Munich, Jerman.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Ogos 2022 @ 7:57 PM