PRESIDEN Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu FC, Mohd Isa Che Ariffin. -FOTO Ihsan Mohd Isa Che Ariffin.
PRESIDEN Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu FC, Mohd Isa Che Ariffin. -FOTO Ihsan Mohd Isa Che Ariffin.
Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu FC tidak rela melihat pasukan kesayangan mereka, Terengganu FC (TFC) 'menangis' buat kali kedua berturut-turut kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) selepas tumpas pada aksi final Piala FA kepada pasukan itu musim lalu.

Sebaliknya peminat setia skuad Penyu itu mahukan anak buah Tomislav Steinbrukner lebih garang untuk mencipta sejarah kedua menjuarai Piala Sultan Haji Ahmad Shah dalam aksi sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim, Johor, malam esok.

Presidennya, Mohd Isa Che Ariffin berkata, kehadiran pengendali 'Mat Saleh', dari Croatia itu bertepatan pada masanya lebih-lebih lagi jurulatih berusia 57 tahun itu sudah ada pengalaman dalam kancah Liga M kerana bergelar pengarah teknikal TFC pada musim lalu selain pernah membimbing kelab dari Terengganu, T-Team pada musim 2015.

Namun Mohd Isa sedar skuad Harimau Selatan itu bukannya mudah untuk ditumpaskan lebih-lebih lagi pasukan kendalian Estaban Solari itu adalah 'raja' bola sepak Malaysia terutama selepas merangkul empat trofi pada musim lalu.

"Aksi merebut trofi itu (Piala Sultan Haji Ahmad Shah) dilihat permulaan baik buat TFC untuk menguji keserasian pasukan serta pemain baharu pada musim yang lebih mencabar ini.

"Namun pemain perlu melihat perlawanan ini sebagai motivasi penting bagi pasukan kerana kami dahagakan kejayaan selepas terlepas musim lalu sekali gus memberi semangat kepada pasukan serta penyokong.

"Buat Tommy (Tomislav Steinbrukner) walaupun baharu membimbing pasukan pada musim ini, beliau perlu merencana percaturan terbaik untuk menghadapi JDT yang pastinya bukan tugas yang mudah, ini ujian pertamanya bersama TFC.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Februari 2023 @ 1:11 PM