Akmal Rizal ketika ditemui pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya Pulau Pinang di sini. -FOTO Danial Saad
Akmal Rizal ketika ditemui pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya Pulau Pinang di sini. -FOTO Danial Saad
BERNAMA

George Town: Pengendali sementara Penang FC, Akmal Rizal Ahmad Rakhli berharap pasukannya itu dapat meneruskan semangat perjuangan mereka dalam dua lagi aksi Liga Super menentang Terengganu FC dan Johor Darul Ta'zim FC (JDT).

Akmal Rizal berkata skuad Harimau Kumbang itu mendapat suntikan semangat yang terbaik, apabila dapat mengumpul tiga mata selepas berjaya mengalahkan Sri Pahang FC semalam, khususnya di akhir musim Liga Super.

"Saya berjumpa dengan semua pemain bagi membentuk keharmonian di antara mereka dan sewaktu sesi latihan, mereka menunjukkan semangat yang tinggi walaupun kedudukan di bawah liga dan ini yang ditunjukkan sepanjang 96 minit perlawanan.

"Saya berharap semua pemain sentiasa bersedia, sama ada yang senior atau muda, kerana saya akan menggunakan mereka pada bila-bila masa dalam rancangan taktikal pada perlawanan akan datang," katanya selepas Penang mengalahkan Sri Pahang 3-2, di Stadium Bandaraya semalam.

Akmal Rizal berkata beliau akan memanfaatkan gabungan kekuatan antara pemain muda serta pengalaman pemain import dan senior, agar dua perlawanan akhir Liga Super dapat dihabiskan dengan keputusan positif.

Mengulas mengenai perlawanan semalam, Akmal Rizal berkata skuad itu berjaya menterjemahkan permainan yang berbeza dari sebelumnya dan mengikut rancangan beliau.

"Kita lihat mereka menunjukkan permainan yang berbeza, contohnya, tidak banyak hantaran jauh dan tidak kelam kabut dalam serangan. Saya gembira mereka cepat sesuaikan dengan apa yang saya mahu," katanya.

Apabila ditanya kemungkinan beliau untuk terus kekal menjadi pengendali skuad Harimau Kumbang, Akmal Rizal berkata dia sentiasa bersedia jika pihak pengurusan memberikan kepercayaan kepadanya.

Sementara itu, Penolong Ketua Jurulatih Sri Pahang Datuk Ahmad Yusof berkata pasukan itu hilang fokus di tengah permainan, dan telah dihukum dengan kekalahan.

"Kami agak kecewa tapi kami akan melihat kehadapan dan membuat persediaan untuk menentang JDT dan Kuala Lumpur City FC," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 November 2023 @ 1:15 PM