Penjaga gol JDT II, T  T Shaheeswaran berjaya menangkap bola kemas selepas diasak pemain TFC II pada aksi Liga Perdana. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
Penjaga gol JDT II, T T Shaheeswaran berjaya menangkap bola kemas selepas diasak pemain TFC II pada aksi Liga Perdana. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Johor Darul Ta'zim II (JDT II) bangkit untuk menewaskan Terengganu FC II (TFC II) 3-2 pada aksi Liga Perdana di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi.

Kemenangan itu membolehkan skuad kendalian Rafael Sanchez naik ke tangga ketiga liga selepas mengumpul 30 mata malah turut membalas dendam kekalahan 3-4 kepada TFC II pada aksi pusingan pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, 17 April lalu.

Pada pertembungan dua pasukan feeder itu, pelawat mengundang cemas benteng tuan rumah seawal minit kedua selepas bola hantaran leret Rahmat Makasuf membuka ruang buat Jordan Mintah melakukan rembatan leret tapi sempat ditampan penjaga gol, T Shaheeswaran.

Tuan rumah nyaris membuka tirai jaringan pada minit ke-22 selepas bola umpanan Fernando Roriguez tepat kepada Stuart Wilson yang melakukan rembatan lencong tapi hanya sipi dari gawang gol ketika penjaga gol, Syed Nasrulhaq Syed Bidin sudah tertewas.

Ketika aksi berbaki tiga minit untuk ditamatkan pada babak pertama, kesilapan Chia Rou Han yang mengumpan bola ke belakang berjaya dipintas Mintah yang secara solo menyusup masuk ke dalam kotak penalti sebelum merembat bola leret menewaskan Shaheeswaran.

Bersambung babak kedua, skuad Merah Biru menggandakan asakan bagi memburu gol penyamaan dan usaha itu membuahkan hasil pada minit ke-53 berpunca daripada bola hantaran lintang Aliff Mutalib sebelum tepat kepada Rodriguez yang kemudian menolak kepada Rafiefikri Rosmadi yang merembat bola leret menewaskan Syed Nasrulhaq.

Tindakan kapten TFC II, Argzim Redzovic dan Masaki Watanabe mengasari Kei Hirose pada minit ke-61 di dalam kotak penalti menyaksikan pengadil perlawanan, Muhammad Izzul Fikri Kamaruddin tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti.

Tanpa sebarang tekanan Rodriguez begitu tenang menyudahkan sepakan penalti menewaskan Syed Nasrulhaq untuk meletak tuan rumah mendahului 2-1.

Hiroke menambah derita TFC II pada minit ke-78 apabila mencipta jaringan selepas bijak memperdaya benteng pelawat sebelum merembat bola leret menewaskan Syed Nasrulhaq.

Walaupun Watanabe menjaringkan gol pada minit akhir perlawanan untuk merapatkan jurang gol namun TFC II gagal membawa pulang sekurang-kurang satu mata selepas akur dengan keputusan 2-3 pada aksi itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Ogos 2021 @ 11:07 PM