PEMAIN  Perak FC Muhamad Alif Zikri Zaini Anuar (kiri) berebut bola dengan pemain PDRM FC Kyaw Min Oo (kanan). FOTO Bernama
PEMAIN Perak FC Muhamad Alif Zikri Zaini Anuar (kiri) berebut bola dengan pemain PDRM FC Kyaw Min Oo (kanan). FOTO Bernama
Syafiq Aznan

Kuala Lumpur: Ketiadaan jurulatih, Azzmi Aziz yang 'direhatkan' tidak mengganggu rentak PDRM FC apabila merakam kemenangan keempat berturut-turut dengan menewaskan Perak FC 2-1 di Stadium Perak, sebentar tadi.

Keputusan itu menyaksikan Perak FC kini melakar lima kekalahan berturut-turut dan pengendalinya, Yusri Che Lah terus buntu untuk mencari kemenangan pertamanya selepas tiga perlawanan.

Babak awal permainan menyaksikan penguasaan yang seimbang namun tiada percubaan tepat dapat dihasilkan kedua-dua pasukan bagi tempoh 15 minit pertama.

PDRM FC mencipta peluang pertama menerusi hantaran lintang Marcus Macauley pada minit ke-16 yang dikecewakan dengan tandukan kurang kemas oleh Uche Agba.

Pelawat sekali lagi terlepas peluang membuka jaringan selepas percubaan lemah Mohamad Nabil Ahmad Latpi diselamatkan penjaga gol T Shaheeswaran.

Shaheeswaran sekali lagi cemerlang menafikan percubaan Mohamad Nabil untuk memecah kebuntuan pada minit ke-47 namun akhirnya tewas dua minit kemudian menerusi penyudah Uche.

Mohamad Nabil yang beberapa kali dikecewakan pada aksi malam ini akhirnya lega selepas menyumbat gol kedua PDRM FC pada minit ke-55.

Perak FC mendapat 'talian hayat' selepas mengurangkan defisit hasil gol sendiri James Okwuosa pada minit ke-72 namun gagal mencari gol penyamaan sehingga wisel penamat dibunyikan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Jun 2023 @ 11:38 PM